IPOH – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyifatkan penganugerahan Tokoh Ar-Ridzuan kepada ibunya Allahyarhamah Datin Dr Siti Zalikhah Md Nor merupakan pengiktirafan kepada perjuangan arwah dalam bidang pendidikan dan perundangan Islam.
Fadhlina berkata, anugerah yang diterima arwah ibunya itu amat bermakna buat dia dan keluarga disamping turut menjunjung kasih ke atas Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
“Bagi pihak keluarga kami menerima anugerah ini dengan penuh rasa rendah diri kerana jasa ibu mewakili beberapa segmen penting dalam perjuangan beliau selama ini.
“Pertama sebagai pendidik di mana beliau seorang pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Kedua segmen pejuang dan pembela undang-undang Islam syariah di Malaysia.
“Ketiga adalah pemberdayaan wanita kerana beliau sentiasa mengangkat tema pemberdayaan wanita dalam semua aspek khususnya dalam pendidikan, perjuangan hak-hak wanita Islam dan juga berkaitan kekeluargaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah 1447H peringkat negeri Perak di Hotel Casuarina Meru, di sini, pada Khamis.
Terdahulu pada majlis sama Fadhlina menaiki pentas mewakili ibunya menerima Anugerah Saidina Abu Bakar As-Siddiq yang membawa gelaran Tokoh Ar-Ridzuan yang disampaikan Sultan Nazrin.
Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan wang tunai RM15,000, pakej menunaikan umrah bernilai RM9,000 sumbangan kerajaan negeri, plak serta sijil kepada Fadhlina.
Fadhlina berkata, anugerah diberikan juga turut mengiktiraf jasa ibunya sebagai anak jati Perak berasal dari Pengkalan Hulu
“Jadi kami amat berterima kasih di atas anugerah ini khususnya kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku (Sultan Nazrin) dan juga Kerajaan Negeri Perak kerana mengiktiraf seorang anak Perak.
“Ibu saya yang berasal dari Pengkalan Hulu berjaya sampai ke peringkat ini dan perjuangannya akan diteruskan oleh anak-anak muridnya,” katanya.
Selain Allahyarhamah Siti Zalikhah, Sultan Perak turut berkenan menyampaikan anugerah kepada tujuh lagi penerima termasuk Qariah negara, Sharifah Khasif Fadzillah Syed Mohd Badiuzzaman yang dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Perak Tahun 1447H. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
MGPerak: Sultan Perak Berangkat Ke Majlis Sambutan Maal Hijrah 1447 Peringkat Negeri