SHAH ALAM – Cuaca panas yang diramal Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bermula hari ini tidak akan menjejaskan bekalan sayur di negara ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, sebaliknya memberi jaminan akan memastikan bekalan sayur dapat ditampung dari negeri-negeri pengeluar seluruh negara.
“Setakat ini tidak banyak yang terjejas dan banyak (bekalan) sayur sekarang. Kalau kemarau berlaku di negeri utara (contohnya), negeri selatan akan membantu.
“Contohnya bila banjir, masalah bekalan memang kita tahu di Pantai Timur akan berlaku, Alhamdulillah sekarang ini terkawal,” katanya ketika ditemui di Majlis Perasmian Karnival TVET Pertanian@KPKM di Dewan MBSA, Kemuning Utama, hari ini.
MetMalaysia meramalkan cuaca panas sehingga 1 Julai dan suhu maksimum di sesetengah kawasan dijangka boleh mencecah 35 darjah Celsius dalam tempoh berkenaan.
Sementara itu, Mohamad Sabu berkata, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan sentiasa memantau isu lambakan harga pasaran sayur tempatan yang didakwa semakin merudum akibat lambakan bekalan import dari China, Vietnam, Indonesia, New Zealand dan Thailand.
Menurutnya, lembaga itu akan memastikan bekalan dan harga sayur mencukupi serta berpatutan.
“FAMA akan sentiasa memantau dan menangani perkara ini. Perkara ini sentiasa berlaku dalam keadaan tertentu tetapi tidaklah secara berterusan.
“Tiada (laksana harga kawalan bagi sayur) begitu sebab FAMA akan melihat supaya sayur diletakkan pada harga sesuai untuk dibeli,” jelasnya.- MalaysiaGazette