PUTRAJAYA – Suasana prosiding di Mahkamah Persekutuan pagi ini bertukar suram dan penuh emosi apabila Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat menyampaikan penghakiman terakhirnya bertepatan dengan hari beliau mencapai umur persaraan wajib.
Penghakiman tersebut melibatkan kes Perlembagaan membabitkan Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Amir Hariri Abdul Hadi mengenai cabaran terhadap Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang diputuskan sebagai tidak sah oleh mahkamah.
Sejurus selepas panel lima hakim diketuai Tun Tengku Maimun selesai menyampaikan keputusan itu, Majlis Peguam Malaysia yang diwakili oleh timbalan presidennya, Anand Raj menyampaikan ucapan perpisahan yang menyentuh hati, sebagai tanda penghormatan kepada kepimpinan beliau yang luar biasa.
“Hari ini kita bukan sekadar menyaksikan tamatnya perkhidmatan seorang Ketua Hakim Negara tetapi juga meraikan legasi luar biasa yang telah mengubah wajah kehakiman Malaysia secara menyeluruh.
“Tun bukan sahaja ketua hakim wanita pertama dalam sejarah negara, malah telah memperkukuhkan kembali maruah badan kehakiman yang pernah tercalar akibat krisis kehakiman 1988.
“Kepimpinan beliau telah memulihkan keyakinan awam terhadap institusi ini dan meletakkannya setaraf dengan kehakiman terbaik di Komanwel,” katanya dalam nada emosi.
Turut menyampaikan penghargaan, peguam kanan, Datuk Gurdial Singh Nijar yang menyifatkan Tengku Maimun sebagai tokoh yang memartabatkan kebebasan kehakiman terutama ketika institusi itu berdepan tekanan dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
“Cadangan untuk melanjutkan tempoh perkhidmatan beliau bukanlah cubaan mempolitikkan institusi kehakiman, sebaliknya ia lahir daripada rasa hormat terhadap mutu penghakiman beliau yang menepati standard antarabangsa,” ujar Gurdial.
Manakala peguam muda, Lim Wei Jiet pula menyifatkan Tengku Maimun sebagai sumber inspirasi kepada generasi baru dalam bidang perundangan.
“Kesetiaan Tun terhadap Perlembagaan Persekutuan, kedaulatan undang-undang dan doktrin pengasingan kuasa telah mencetuskan semula kebangkitan semangat perundangan di negara ini,” katanya.
Sementara itu, peguam, Raja Eileen Soraya Raja Aman yang turut hadir di galeri awam bangkit berdiri dan menyatakan secara spontan.
“Tolonglah tinggalkan pejabat dengan your heads held high kerana anda telah membolehkan kami juga untuk mendongak dengan bangga,” ujarnya.
Menjawab ucapan-ucapan tersebut, Tun Tengku Maimun dalam nada tenang dan tersentuh berkata:
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyuarakan kata-kata penghargaan khususnya kepada Majlis Peguam yang sentiasa berdiri di belakang kami.
“Semua sokongan yang diberikan ketika kami berdepan cabaran dan ketika institusi kehakiman diserang kami tahu, kami dibela oleh Majlis Peguam serta individu-individu lain. Untuk itu, saya amat bersyukur.
“Kami doakan semua ahli Majlis Peguam terus berjaya dalam usaha dan perjuangan masing-masing. Terima kasih.”
Sementara itu, Majlis Peguam turut menyenaraikan beberapa penghakiman penting yang membuktikan keberanian dan keteguhan prinsip Tengku Maimun dalam mempertahankan perlembagaan dan keadilan.
Antaranya termasuk keputusan dalam Nivesh Nair v Datuk Abdul Razak Musa yang menolak penggunaan ouster clause oleh Parlimen untuk menghalang semakan kehakiman serta Nik Elin Zurina vs Kerajaan Negeri Kelantan yang memperjelas batas bidang kuasa kerajaan negeri dan persekutuan.
Dalam kes percukaian Kind Action Sdn Bhd vs Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri, beliau menetapkan prinsip penting pihak berkuasa tidak boleh sewenang-wenangnya mengubah penilaian cukai selepas ia dimuktamadkan.
Beliau turut mempertahankan prinsip legal profesional privilege dalam kes Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri vs Majlis Peguam Malaysia serta menghasilkan satu-satunya penghakiman berbeza dalam kes Indira Gandhi vs Ketua Polis Negara yang kemudiannya disahkan oleh Mahkamah Persekutuan.
Tengku Maimun juga dikenang sebagai peneraju utama dalam pelaksanaan transformasi digital sistem kehakiman semasa pandemik Covid-19 memastikan sistem perundangan negara tidak terhenti dan rakyat terus mendapat akses kepada keadilan.
Difahamkan Tengku Maimun secara rasmi akan menamatkan perkhidmatannya dengan umur beliau genap mencapai usia persaraan manakala Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim pula dijangka mengakhiri tugas esok. -MalaysiaGazette