Pengarah jabatan di MPAJ mengaku tidak bersalah terima suapan RM30,000

IPOH – Pengarah Jabatan Bangunan dan Senibina Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM30,000 dua tahun lalu.

Pengakuan Ahmad Alhairi Mohamed Yusuf, 47, direkodkan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menerima wang tunai berjumlah RM20,000 melalui akaun Maybank miliknya tanpa sebarang balasan daripada seorang lelaki bernama Nazman Puteh, sedangkan beliau mengetahui bahawa individu tersebut mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai penjawat awam.

Bagi pertuduhan kedua, bapa kepada dua anak itu didakwa menerima RM10,000 ke dalam akaun sama tanpa sebarang balasan daripada Nazman Puteh melalui dua individu, iaitu Song Teik Sun dan Wong Huey Peng.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di Maybank Cawangan Taiping, Jalan Chung Thye Phin dalam daerah Larut, Matang dan Selama pada 2 November 2023.

Sehubungan itu, Ahmad Alhairi didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Asmaa’ Zamri menawarkan jaminan RM15,000 serta syarat tambahan supaya menyerahkan pasport dan melaporkan diri di pejabat SPRM berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai.

Peguam, Khairul Nizam Abd Razak kemudiannya memohon supaya jumlah wang jaminan dikurangkan kepada RM10,000 memandangkan anak guamnya adalah penanggung tunggal keluarga serta tidak pernah gagal melaporkan diri ke SPRM sejak tahun lalu.

Hakim membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh menyerahkan pasport ke mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM Shah Alam, Selangor pada Sabtu pertama setiap bulan sehingga kes selesai.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 19 Ogos depan sebagai sebutan semula kes. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Dua ‘budak’ along baling ‘molotov cocktail’ didakwa di mahkamah

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI