IPOH – Dua buah lori bersama 225 tong Gas Petroleum Cecair (LPG) dengan anggaran nilai RM466,895.65 disita Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak melalui Ops Gasak.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, kesemua barang yang disita berkenaan diperoleh melalui serbuan ke atas dua premis berasingan di Tanjung Malim dan Ipoh.
Beliau berkata, kedua-dua premis tersebut disyaki telah menyimpan barang kawalan LPG tanpa permit sah daripada Pengawal Bekalan.
“Pada jam 11.30 pagi, sepasukan Penguat Kuasa KPDN Cawangan Tapah melaksanakan serbuan di Tanjung Malim dan mendapati premis berkenaan dijadikan stor penyimpanan LPG.
“Pemeriksaan turut mendapati premis ini tidak memiliki sebarang kelulusan sah menyimpan barang kawalan. Seorang lelaki tempatan berumur 49 tahun turut ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mengulas lanjut, Kamalludin berkata, serbuan kedua pula melibatkan sepasukan Penguat Kuasa KPDN Ipoh menjalankan serbuan di sebuah kilang di Zarib Industrial Park kira-kira jam 1 petang.
Katanya, pihak KPDN mendapati premis tersebut menjalankan aktiviti pemprosesan makanan dengan menggunakan LPG dan hasil pemeriksaan awal mendapati premis ini tidak mempunyai sebarang surat kebenaran, lesen atau permit menyimpan barang kawalan daripada Pengawal Bekalan.
“Pemeriksaan lanjut turut mengesan sebuah lori pembekal sedang memindahkan LPG ke tangki milik premis dan seorang wanita tempatan berumur 28 tahun dan seorang lelaki tempatan berumur 41 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.
“Berikutan kedua-dua tindakan ini, KPDN Perak telah menyita sebanyak 14 unit tong LPG berkapasiti 50kg, 171 unit tong LPG berkapasiti 14kg, 40 unit tong LPG berkapasiti 12kg dan dua buah lori dengan nilai sitaan keseluruhan yang dianggarkan RM466,895.65,” katanya.
Tambah beliau kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Katanya lagi, KPDN juga memberi peringatan dan amaran ke atas mana-mana individu atau syarikat yang berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan. -MG Perak