PESUMA perkukuh perpaduan, gaya hidup sihat penjawat awam

IPOH – Sukan mempunyai kuasa untuk menyatukan insan melangkaui sempadan etnik, bahasa dan budaya serta mampu membentuk satu keluarga besar yang saling memberi semangat, memperkukuh persefahaman, di samping menjadi asas kepada masyarakat harmoni dan berdaya saing.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, penganjuran Pesta Sukan Ukur Semalaysia (PESUMA) membuktikan walaupun peserta datang dari negeri dan latar belakang yang berbeza namun tetap bergandingan atas satu nama Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), dan atas satu semangat iaitu perpaduan.

“Sukan mampu memperkukuh hubungan sosial, menyemai semangat kesetiaan dan menghormati perbezaan  menjadikan masyarakat kita lebih harmoni.

“Maka tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa sukan adalah kuasa lunak yang menyatukan negara dari dalam, bermula di pentas jabatan dan komuniti,“ katanya.

PESUMA perkukuh perpaduan, gaya hidup sihat penjawat awam
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah (tengah) ketika gimik perasmian pada Majlis Perasmian Pesta Sukan Ukur SeMalaysia (PESUMA) Tahun 2025 di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh, pada Jumaat. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 04 JULAI 2025.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah yang mewakili Saarani pada perasmian PESUMA Ke-35 di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, di sini malam tadi.

Dalam konteks yang lebih luas, Saarani berkata, manfaat sukan turut merentasi aspek kesihatan awam.

“Gaya hidup aktif yang digalakkan melalui penglibatan dalam sukan terbukti mampu mengurangkan risiko penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis, darah tinggi dan obesiti, yang kini kian membimbangkan, terutama dalam kalangan golongan muda dan berkerjaya.

“Justeru, Kerajaan Negeri Perak komited untuk memperluas akses kepada sukan dan rekreasi melalui pelbagai inisiatif.

“Antaranya membangunkan kemudahan sukan komuniti, memperindah kawasan riadah, dan menyokong program sukan akar umbi dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) serta organisasi masyarakat sivil,“ ujarnya.

PESUMA perkukuh perpaduan, gaya hidup sihat penjawat awam
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah menyerahkan cenderahati penyertaan kepada wakil kontinjen Perak pada Majlis Perasmian Pesta Sukan Ukur SeMalaysia (PESUMA) Tahun 2025 di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh, pada Jumaat. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 04 JULAI 2025.

Beliau berkata, temasya seperti PESUMA bukan sahaja menjadi gelanggang pertandingan, tetapi turut menjadi pemangkin budaya hidup sihat dalam kalangan penjawat awam yang seterusnya memberi inspirasi kepada masyarakat secara keseluruhan.

Sementara itu, Khairudin ketika ditemui pada sidang media memaklumkan seramai 2,500 atlet dan pegawai daripada 20 kontinjen JUPEM dan agensi berkaitan dari seluruh Malaysia menyertai kejohanan pada kali ini.

Menurutnya, sebanyak 19 acara sukan yang dipertandingkan antaranya adalah bola sepak, bola jaring, dam aji, karom dan catur.

Tambahnya, venue pertandingan akan dijalankan di sekitar kompleks sukan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) kecuali sukan pétanque akan dijalankan di Kuala Kangsar.

PESUMA perkukuh perpaduan, gaya hidup sihat penjawat awam
Perarakan masuk kontinjen Sarawak pada Majlis Perasmian Pesta Sukan Ukur SeMalaysia (PESUMA) Tahun 2025 di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh, pada Jumaat. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 04 JULAI 2025.

PESUMA adalah temasya kejohanan pelbagai sukan dwi-tahunan yang dianjurkan oleh Majlis Sukan JUPEM, atau ringkasnya MSJU.

Pada tahun ini, Perak menjadi tuan rumah dalam kejohanan yang berlangsung bermula 3 hingga 7 Julai ini. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Gerik Megatrails disasar jadi acara antarabangsa pelancongan sukan lasak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI