KUALA LUMPUR – Proses pelantikan Ketua Hakim Negara dan Hakim Mahkamah Tinggi perlu dilaksanakan secara telus, berintegriti dan bebas daripada campur tangan politik.
Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof Madya Datuk Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil berkata, proses itu adalah sebahagian daripada amalan perlembagaan yang melibatkan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.
Sehubungan itu, kata beliau, pelantikan jawatan berkenaan perlu dibuat berdasarkan merit dan kecekapan, bukan pengaruh luar.
Dalam masa sama, beliau menyeru supaya orang ramai tidak terperangkap dalam spekulasi atau naratif berat sebelah yang boleh menjejaskan kepercayaan terhadap institusi kehakiman.
“IKIM komited mempertahankan kebebasan dan integriti institusi kehakiman sebagai asas keadilan dan kedaulatan undang-undang.
“IKIM juga menyokong reformasi yang memperkukuh ketelusan pelantikan hakim, termasuk mengurangkan peranan eksekutif selagi selari dengan Perlembagaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Mohamed Azam menambah, pelantikan Ketua Hakim Negara dan hakim-hakim atasan juga perlu dibuat dalam tempoh munasabah bagi mengelak gangguan terhadap pentadbiran keadilan.
Semalam, Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan, pelantikan hakim-hakim mahkamah atasan merupakan urusan kenegaraan yang penting dan perlu ditangani dengan cermat serta berintegriti, selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Istana Negara memaklumkan, mengikut Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, pelantikan hakim dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
“Perkara ini secara jelasnya menzahirkan prinsip semak dan imbang dalam sistem kehakiman negara,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette