BN tidak akan ulang kesilapan lama pada PRU16

TAPAH – Barisan Nasional (BN) Perak yakin gabungan parti itu tidak akan mengulangi kesilapan lama untuk bertanding secara solo pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) nanti.

Pengerusinya, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sebaliknya gabungan itu akan terus menjalinkan kerjasama politik bersama Pakatan Harapan (PH) atas semangat Kerajaan Perpaduan.

“Kita ada pengalaman silam yang sangat menyedihkan selepas kita buat keputusan untuk pergi secara solo (pada PRU 16).

“Misalnya, apabila kita bertanding solo di kawasan luar bandar, kita akan bertembung juga dengan Perikatan Nasional (PN) dan kebanyakan mereka adalah pengundi Melayu.

“Ia kemudian membawa kepada perpecahan undi kepada BN, PH, dan PN. Sejarah sudah tersurat, apabila kita bertanding solo, undi pecah tiga dan yang menjadi mangsa adalah BN,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tapah dan Majlis Kesyukuran Barisan Nasional (BN) Parlimen Tapah di Dewan Merdeka, dekat sini, pada Ahad.

Hadir sama, Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tapah, Khairul Azmi Ghazali serta Setiausaha UMNO Bahagian merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Dr Mohamad Yusri Bakir.

Mengulas lanjut Saarani yang juga Pengerusi UMNO Perak memberitahu, keputusan untuk bertanding menggunakan lambang BN tidak bermakna gabungan itu akan bergerak secara bersendirian, sebaliknya akan memastikan tiada pertembungan sesama sendiri sebagaimana dalam beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini.

“Kita pergi atas lambang BN. PH pula atas lambang PH. Persefahamannya ialah di kerusi yang BN bertanding, PH tidak akan letak calon. Di kerusi PH pula, BN tidak akan bertanding.

“Maka yang berlaku ialah pertandingan dua penjuru sahaja antara BN atau PH menentang PN. Kedua-dua pihak, BN dan PH akan saling menyokong antara satu sama lain seperti yang telah kita lihat dalam PRK sebelum ini,” jelasnya.

Menteri Besar Perak itu berkata, matlamat utama BN dan PH adalah untuk memastikan kestabilan politik negara berterusan dan PRU16 tidak berakhir dengan kebuntuan politik seperti yang berlaku selepas PRU15.

“Akhirnya, kalau BN menang di kerusi yang ditandingi, PH menang di kerusi mereka, kita tetap akan bentuk kerajaan bersama seperti sekarang,” jelas beliau.

Dalam perkembangan lain, Saarani memberitahu, UMNO Perak kini memainkan peranan langsung dalam persiapan PRN Sabah apabila dihantar untuk membantu jentera parti di beberapa kawasan tumpuan.

Kata beliau, UMNO Perak membantu dua DUN di dalam kawasan Parlimen Kalabakan dan Tawau dengan menghantar enam petugas jentera.

“Tugas mereka bukan saja bantu kempen, tetapi buat kajian dan strategi bagaimana kita boleh menang di dua kerusi berkenaan,” katanya. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

BN beri keutamaan lebih ramai calon muda pada PRU16

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI