Himpunan ‘Turun Anwar’ tidak ada hala tuju, fokus jelas – AMK

IPOH – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyifatkan ‘Himpunan Selamatkan Malaysia: Turun Anwar’ yang dijadual berlangsung pada 26 Julai ini sebagai himpunan yang tiada hala tuju dan fokus yang jelas.

Ketuanya, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, beliau sebaliknya berpandangan bahawa himpunan itu hanya sekadar dianjurkan sebagai membangkitkan keresahan dan kebimbangan rakyat terhadap kepimpinan kerajaan masa kini.

“Kita negara yang demokrasi yang menjunjung hak setiap daripada warganya untuk berkumpul bagi mengadakan perhimpunan aman, itu kita hormat.

“Tetapi saya fikir rakyat dalam negara ini bijak untuk menilai dan meneliti apakah benar isu yang dibawa itu benar-benar menyentuh permasalahan rakyat, atau berlegar sekitar sentimen kebencian, kaum dan agama yang sempit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Karnival Kesenian Islam dan Malam Mahabbah Madani Parlimen Tambun di perkarangan Masjid Jamek Al-Amin, dekat sini pada Ahad.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad.

Himpunan Turun Anwar Himpunan Selamatkan Malaysia, Angkatan Muda Keadilan, Muhammad Kamil Abdul Munim, protes Turun Anwar, politik Malaysia 2025, Anwar Ibrahim Perdana Menteri AMK
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim (empat, kiri) menyampaikan sumbangan sekolah rendah kepada penerima pada Karnival Kesenian Islam dan Malam Mahabbah Madani Parlimen Tambun di perkarangan Masjid Jamek Al-Amin, Ipoh, pada Ahad. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 13 JULAI 2025.

Program anjuran bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu sebagai usaha memperkasakan peranan agensi dalam menyemarakkan aktiviti Islamik dan kerohanian dalam komuniti.

Pada majlis, Muhammad Kamil turut menyampaikan sumbangan peruntukan khas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk disalurkan kepada Balai Polis Tanjung Rambutan, 34 sekolah serta pembangunan kawasan Parlimen Tambun.

Dalam pada itu beliau berkata, negara tidak boleh bergerak ke hadapan sekiranya rakyat terus dipengaruhi dengan agenda politik sempit yang dimainkan pembangkang seumpama itu.

Beliau yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan memberitahu, kedudukan Anwar sebagai Perdana Menteri ketika ini masih kukuh, di samping negara terus berada di landasan tepat dalam mengukuhkan hubungan serantau selaku Pengerusi ASEAN 2025.

Muhammad Kamil bagaimanapun mengakui soal komunikasi dan penerangan kepada rakyat terutama dalam hal perluasan skop cukai jualan dan perkhidmatan (SST) serta pelaksanaan subsidi bersasar terhadap bahan api perlu ditambah baik agar dapat menangkis salah faham umum.

Beliau berkata, walaupun ia bukan suatu keputusan popular, namun kerajaan perlu melakukannya bagi terus memperbaiki kelangsungan dan keupayaan ekonomi negara untuk masa akan datang.

“Semua Perdana Menteri sebelum daripada ini setuju bahawa subsidi perlu disasarkan, dan ia tidak boleh diteruskan dengan pendekatan subsidi secara pukal.

“Tetapi sebab apa tak buat? Tidak ada keberanian politik dan berdepan dengan masalah tidak ada kestabilan politik. Hari ini apabila Perdana Menteri buat, kamu kritik pula.

“Jadi ia lebih daripada bukan soal tak setuju daripada sudut prinsip, tetapi sebab dia tak berani dan dia geram kenapa Perdana Menteri hari ini berani buat langkah yang sebegitu,” katanya lagi.

Media sebelum ini melaporkan, PAS menyasarkan penyertaan lebih 50,000 orang dalam Himpunan Selamatkan Malaysia: Turun Anwar yang dijadual berlangsung pada 26 Julai ini di Kuala Lumpur.

Himpunan itu didakwa sebagai sebagai satu manifestasi rakyat Malaysia yang sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Anwar sebagai Perdana Menteri. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Himpunan `Turun Anwar’ tak gambar suara sebenar rakyat – Mahfuz

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI