Mardi perkenal dua varieti baharu padi MR CL3, MR CL4

PASIR SALAK – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dengan kerjasama BASF Sdn. Bhd. memperkenalkan dua varieti baharu padi MR CL3 dan MR CL4.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, dua varieti yang diperkenalkan itu merupakan merupakan hasil daripada kerjasama strategik antara MARDI dan B.A.S.F sejak 20 tahun lalu.

“Dua varieti baharu padi ini iatu MR CL3 dan MR CL4 mempunyai kelebihan matang lebih awal iaitu selama 99 hari dengan potensi hasil melebihi tujuh tan sehektar.

“Kedua-dua varieti ini juga mempunyai ketahanan terhadap penyakit karah daun dan karah tangkai serta dapat dimanfaatkan di bawah program inisiatif KPKM yang sedang dijalankan seperti penanaman lima kali dua tahun dan SMART SBB,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengisytiharan Varieti Padi Clearfield® Baharu MR CL3 dan MR CL4 di Pusat Benih Padi Felcra Berhad, Seberang Perak, di sini, pada Isnin.

Hadir sama, Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun; Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Seri Isham Ishak; Pengerusi MARDI, Dr. Azman Ismail dan Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berucap pada Majlis Pengisytiharan Varieti Padi Clearfield Baharu Mardi MR CL3 dan MR CL4 di Pusat Benih Padi FELCRA Plantation Service Sdn Bhd, Seberang Perak, pada Isnin. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 14 JULAI 2025.

Tambah beliau, kaedah pengkomersilan varieti baharu berkenaan akan dilaksanakan melalui Sistem Pengeluaran Clearfield yang merangkumi varieti padi, racun rumpai khas Trek dan panduan penggunaan teknologi.

“Ketiga-tiga komponen ini digabungkan bersama bagi menjamin kelestarian teknologi dan mencapai matlamat untuk menangani masalah padi angin,” katanya.

Mohamad berkata, KPKM amat menggalakkan kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta dalam usaha reformasi industri padi dan beras negara.

Ujar beliau, ini bagi memastikan pengeluaran padi meningkat, penghasilan beras bermutu seterusnya menstabilkan penghasilan beras putih tempatan.

“Usaha ini bukan sahaja mencetuskan teknologi inovatif yang sesuai dengan cabaran semasa, malah menjadi model kerjasama antara sektor awam dan swasta dalam pembangunan industri padi dan beras negara.

“Diharapkan agar Sistem Pengeluaran Clearfield® MR CL3 dan MR CL4 dari MARDI dan BASF ini memberi manfaat kepada pesawah dan dapat memberi impak kepada industri padi negara,” katanya. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Harga benih padi sentiasa disemak bagi elak bebankan pesawah

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI