KKDW perkasa institusi TVET beroperasi secara mesra alam

LENGGONG – Semua 281 institusi Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan menggunakan Buku Panduan Pelaksanaan Amalan Hijau TVET@KKDW.

Timbalan Menteri KKDW, Datuk Rubiah Wang berkata, buku rujukan itu membolehkan semua institusi TVET berkenaan dapat beroperasi mengikut amalan Hijau atau mesra alam.

Beliau berkata, antara komponen utama dalam panduan itu ialah kecekapan tenaga dan air, pengurusan sisa, pengangkutan rendah karbon, reka bentuk bangunan hijau dan integrasi pendidikan kelestarian dalam kurikulum.

“Pelaksanaan inisiatif ini akan dilaksanakan secara berfasa dan dinilai menggunakan indikator prestasi yang objektif.

“Saya amat berharap pihak pengurusan institusi TVET di bawah KKDW akan memberi komitmen penuh demi memastikan pelaksanaan amalan Hijau ini berjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Peluncuran Amalan Hijau TVET@KKDW Bestari dan Lestari di Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Lenggong, pada Khamis.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berucap pada Majlis Peluncuran Amalan Hijau TVET@KKDW Bestari dan Lestari di Kolej Kemahiran Tinggi Mara Lenggong, pada Khamis. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 17 JULAI 2025.

Mengulas lanjut Rubiah berkata, sistem penarafan bagi menilai amalan Hijau yang dilaksanakan akan diperkenalkan KKDW.

Rubiah turut memaklumkan KKDW turut terbuka sekiranya ada jabatan atau kementerian lain mahu bekerjasama dengan kementerian itu menerusi buku panduan tersebut atau pelaksanaan amalan Hijau.

Dalam pada itu, beliau mahu institusi TVET di bawah kementerian itu turut menjalinkan hubungan dengan warga penduduk sekitar seperti Kolej Kemahiran Tinggi MARA di Lenggong.

“Teknologi yang ada boleh dibawa keluar dalam usaha kita membangunkan produk-produk kampung yang boleh menguntungkan masyarakat setempat,” katanya. -MG Perak

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI