Laporan awal nahas UPSI: Semua brek berfungsi tetapi bas dipandu terlalu laju

KUALA LUMPUR – Antara punca kemalangan bas yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik pada 9 Jun lalu, adalah akibat kegagalan kenderaan itu mengawal kelajuan ketika melalui selekoh di laluan menuruni bukit menyebabkannya terbalik ke arah kiri jalan.

Selain itu, Laporan awal oleh Pasukan Petugas Khas Siasatan Keselamatan Pengangkutan Jalan, Kementerian Pengangkutan (MOT) turut mendapati, pelbagai bentuk ketidakpatuhan serta kelemahan dalam aspek operasi dan pengurusan keselamatan juga menjadi punca nahas tersebut.

Berdasarkan analisis trajektori, rekonstruksi pergerakan sebelum kejadian dan penilaian terhadap kelajuan kritikal selekoh menunjukkan bahawa bas berkenaan dipandu pada kelajuan yang melebihi had selamat untuk laluan tersebut.

“Kenderaan terbalik ke sisi kiri sebelum bergesel dan menghentam penghadang jalan jenis W-beam, yang kemudiannya menembusi ke dalam ruang kabin dan menyebabkan kecederaan parah serta kematian dalam kalangan penumpang,” demikian menurut laporan tersebut.

Bagaimanapun laporan itu berkata siasatan setakat ini belum mengesahkan sebarang kerosakan teknikal berkaitan kegagalan sistem brek seperti yang didakwa pemandu bas itu, sebelum ini.

Malah hasil pemeriksaan mendapati, semua sistem brek yang digunakan iaitu drum dan pelapik brek (brake lining) didapati berada dalam keadaan baik.

“Pemeriksaan awal mengenal pasti tanda-tanda kemungkinan pemanasan melampau pada komponen brek, namun keadaan ini juga bolen berpunca daripada penggunaan brek yang berlebinan atau tidak sesuai.

“Penilaian terperinci masih dijalankan dan akan dilaporkan dalam Laporan Akhir,” jelasnya.

Selain itu laporan awal turut menyebut terdapat faktor penyumbang kepada kemalangan yang mengorbankan 15 pelajar institusi tersebut termasuk infrastruktur jalan raya lokasi kejadian yang tidak mempunyai perlindungan mencukupi bagi pemanduan selamat di laluan berbukit dan berselekoh tajam.

Selain itu katanya, bas berkenaan tidak dilengkapi peranti kawalan kelajuan dan pemantauan seperti SLD atau GPS aktif pada kenderaan menghalang sebarang pengesanan awal dan kawalan terhadap kelajuan berlebihan.

“Kelemahan struktur atas (superstructure) bas dan ketiadaan sistem kekangan penumpang seperti tali pinggang keledar turut menyumbang kepada kecederaan yang lebih parah, khususnya apabila berlaku pelanggaran dengan struktur jalan,” ujarnya.

Siasatan awal pasukan berkenaan turut mendapati amalan pengendalian tidak sah dan ketidakpatuhan serius terhadap peraturan pelesenan dan keselamatan, termasuk pemajakan lesen tanpa kebenaran serta manipulasi dalam permohonan dokumen pengawalseliaan.

Malah katanya, pemandu didapati mempunyai rekod kesalahan lalu lintas yang tinggi termasuk saman yang belum dijelaskan.

Ia melibatkan 18 saman bagi pemandu pertama dan lebih 20 saman gabungan bagi pemandu kedua.

“Kegagalan menyaring dan memantau disiplin pemandu secara berkala, seperti yang diwajibkan di bawah ICOP-Keselamatan, menunjukkan kelonggaran sistemik dalam pengurusan risiko oleh pihak pengendali. Amalan ini meletakkan penumpang dan pengguna jalan raya dalam risiko yang tinggi dan mencerminkan kegagalan serius dalam pengurusan sumber manusia serta pematuhan dalaman,” tambah laporan itu.

Ketiadaan ciri-ciri keselamatan pasif seperti tali pinggang keledar bagi penumpang, serta kegagalan struktur kabin untuk melindungi ruang penumpang semasa impak, telah menyumbang secara langsung kepada tahap kecederaan dan kematian yang tinggi dalam insiden ini, kata laporan itu lagi.

“Penembusan penghadang jalan ke dalam kabin di zon impak utama, di mana majoriti mangsa berada, merupakan faktor fizikal yang kritikal dalam menentukan kebolehselamatan mangsa.

Mengulas lanjut laporan awal berkata, ketiadaan pemantauan proaktif serta kelemahan koordinasi antara agensi kawal selia mengakibatkan pengendali tidak patuh terus beroperasi tanpa pengesanan awal.

Ujarnya, sistem sedia ada dilihat lebih bersifat reaktif dan tidak disokong oleh teknologi pemantauan masa nyata yang menyeluruh.

“Ketidaksepadanan dalam pangkalan data dan mekanisme pengesanan antara agensi seperti Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) turut menyumbang kepada jurang penguatkuasaan yang membolehkan kelemahan ini berlarutan,” katanya.

Terdahulu siasatan awal keadaan bas mendapati tali pinggang keledar hanya dipasang pada tempat duduk pemandu.

Manakala, semua tempat duduk penumpang serta tempat duduk pemandu kedua tidak dilengkapi dengan tali pinggang keledar.

Sementara itu, pasukan tersebut menegaskan bahawa laporan yang dihasilkan tidak bertujuan menyalahkan atau menentukan liabiliti mana-mana pihak.

Sebaliknya, demi mencegah kejadian serupa daripada berulang, memperkukuh sistem keselamatan pengangkutan jalan raya, serta melindungi nyawa dan kesejahteraan pengguna jalan raya.

“Pelaksanaan langkah-langkah keselamatan yang disyorkan akan membantu menangani kelemahan yang dikenal pasti, mengukuhkan kerangka pematuhan, dan menutup jurang dalam penguatkuasaan.

Sehubungan itu katanya, semua pihak yang berkepentingan diseru agar memberikan keutamaan kepada aspek keselamatan serta bekerjasama secara aktif dalam melaksanakan tindakan pembetulan yang diperlukan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI