IPOH – Kerajaan Negeri Perak mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka terutamanya dalam keadaan cuaca panas yang sedang berlaku ketika ini.
Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) antara pihak yang harus memainkan peranan penting dalam usaha membendung aktiviti tersebut.
“Kebakaran terbuka memang tidak dibenarkan terutamanya pada musim kemarau, jadi PBT perlu tampil membantu bukan dari segi pemantauan sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas langkah kerajaan negeri dalam menangani isu pembakaran terbuka di kawasan kediaman dan kawasan kebun.
Menurutnya, kerajaan negeri turut menyarankan PBT supaya lebih proaktif dalam menguruskan sisa kebun supaya tiada pembakaran terbuka berlaku.
“PBT boleh melakukan inisiatif yang proaktif dengan mengambil sampah itu sebelum mereka bakar. Itu adalah salah satu kaedah yang akan membantu,” ujarnya.
Tambah beliau, larangan membakar secara menyeluruh mungkin kurang adil bagi penduduk, justeru pendekatan yang seimbang perlu diambil untuk mengatasi isu tersebut.
“Kalau kita selalu katakan jangan bakar, itu kurang adil kepada penduduk. Jadi saya rasa inisiatif ini akan sekali gus membantu menjaga kebersihan dan pada masa yang sama dapat menjaga kelestarian alam sekitar,” jelasnya.
Terdahulu, Teh menghadiri forum bertajuk, “Flexible Packaging: Mono-Material for Recyclable Plastic Towards Future Sustainability” di hotel Kinta Riverfront di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Presiden Persatuan Pengilang Plastik Malaysia (MPMA), C C Cheah. – MG Perak
Artikel Berkaitan: