IPOH – Seorang lelaki warga emas ditemukan meninggal dunia dalam bilik air di sebuah rumah yang berkunci di Jalan Melati, Kampung Sungai Rokam, dekat sini, pada Sabtu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan insiden itu pada jam 8.09 malam.
Katanya, sejurus menerima panggilan kecemasan berkenaan, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh diatur gerak ke lokasi kejadian.
“Pasukan bomba berjaya membuka kunci dan memasuki rumah berkenaan menggunakan peralatan khas di samping turut disaksikan pihak polis.
“Kemudian, pasukan bomba menemukan seorang lelaki berusia 74 tahun ditemukan tidak sedarkan diri dalam bilik air di rumah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.
Sabarodzi memberitahu, pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) yang turut berada di lokasi kejadian mengesahkan mangsa warga emas itu telah meninggal dunia.
Kata beliau lagi, mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Wan Mohd Fadzil Wan Ahmad itu tamat pada jam 9.20 malam. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Lelaki meninggal dunia selepas selesai sembelih lembu