Dasar Kerajaan Negeri pacu Sektor Pertanian Perak jadi penyumbang negara

SEKTOR pertanian terus menjadi antara tonggak utama pertumbuhan eknomi negara terutamanya dalam memastikan keterjaminan bekalan makanan buat rakyat.

Maka tidak hairan apabila Kerajaan Negeri melalui Pelan Perak Sejahtera 2030 meletakkan keterjaminan makanan dan pertanian sebagai salah satu daripada enam agenda utama dalam pembangunan negeri menjelang 2030.

Menurut Laporan Interim Banci Pertanian 2024, Perak merekodkan jumlah nilai jualan hasil pertanian sebanyak RM15,984.5 juta secara keseluruhannya pada tahun 2023.

Ia sekali gus menjadikan Perak antara empat negeri tertinggi menyumbang kepada pertanian negara pada 2023.

Banci Pertanian 2024 juga merekodkan sebanyak 107,474 pegangan pertanian di Perak pada tahun 2023 dengan 97.6 peratus (104,878 pegangan) dimiliki individu manakala 2.4 peratus (2,596 pegangan) dimiliki pertubuhan.

Hampir kesemua individu (99.9 peratus) yang terlibat dalam aktiviti pertanian merupakan warganegara dan 76.3 peratus daripadanya adalah lelaki.

Berdasarkan laporan sama, luas kawasan bertanaman di Perak merekodkan 497 ribu hektar dengan 188.8 ribu hektar diusahakan oleh pegangan pertanian individu manakala 308.2 ribu hektar oleh pegangan pertanian pertubuhan.

Hilir Perak mencatatkan jumlah keluasan bertanam terbesar iaitu seluas 102.8 ribu hektar diikuti oleh Perak Tengah (72.2 ribu hektar) dan Batang Padang (62.5 ribu hektar).

Hasil tanaman padi di Pusat Benih Padi FELCRA Plantation Service Sdn Bhd, Seberang Perak. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 14 JULAI 2025.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin sendiri mengatakan bahawa daya saing pengeluaran sektor pertanian di Perak jauh lebih baik berbanding sebelum ini.

Beliau mengatakan susunan dan dasar serta program yang dilaksanakan Kerajaan Perak bukan sahaja menonjolkan potensi negeri ini secara keseluruhannya malah juga setiap daerah yang ada.

“Kalau kita banding dan campur semua sektor pertanian di seluruh negara, sumbangan pertanian oleh negeri Perak kepada negara secara keseluruhannya berada di tangga keempat.

“Kelebihan negeri Perak ini dari sektor pertanian bukan sahaja meliputi tanaman kekal tetapi juga makanan dan kita yakin dengan susunan dan dasar dilaksanakan kerajaan negeri menjadikan Perak penyumbang sektor pertanian negara,” katanya.

Perkara ini dapat kita lihat melalui usaha Kerajaan Negeri Perak menjadikan Pertanian dan Sekuriti Makanan sebagai salah satu daripada enam agenda utama dalam Pelan Perak Sejahtera 2030.

Inisiatif jangka panjang bermula 2021 hingga 2030 ini juga dijalankan sejajar dengan Dasar Agromakanan Negara 2.0 dan Pelan Tindakan Sekuriti Makanan 2021–2025.

Tumpuan turut diberikan kepada keterjaminan makanan apabila sasaran peningkatan pengeluaran agromakanan dari 691 juta kilogram (kg) pada 2015 disasarkan kepada dua bilion pada 2040.

Ia selari dengan nisbah kawasan tanaman yang dijangka meningkat daripada 4.6 peratus kepada 20 peratus daripada keluasan negeri.

Kedudukan Perak yang strategik

Kedudukan Perak yang begitu strategik juga membolehkan negeri ini menjadi pembekal makanan serta mengukuhkan daya saing pengeluaran sektor pertanian jauh lebih baik.

Ini kerana kedudukannya bersempadan dengan Selangor dan Pulau Pinang memberi kelebihan dalam merancakkan lagi sektor pertanian negeri melalui permintaan yang tinggi.

Tanaman sayur sawi di Agrotech Profarm, Gopeng yang menjadi destinasi pelancongan yang menarik di Perak. Foto ABDULLAH YUSOF, 20 FEBRUARI 2025.

Namun disebalik kerancakkan ini terdapat halangan yang perlu diberi perhatian serius Kerajaan Negeri Perak apabila data Banci Pertanian 2024 menunjukkan sektor pertanian di Perak masih bergantung kepada golongan warga emas.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam Laporan Interim Banci Pertanian 2024 bagi Negeri Perak melaporkan hanya 24,555 orang iaitu 23.4 peratus golongan belia berumur 15 hingga 45 tahun menyahut cabaran menceburi bidang pertanian.

Sekiranya ia tidak diendahkan kedudukan Perak sebagai antara penyumbang terbesar sektor pertanian negara bakal tergugat pada masa akan datang.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun sebelum ini memaklumkan, kerajaan negeri sedang menyusun langkah lebih proaktif untuk memastikan penglibatan golongan belia dalam bidang pertanian di negeri ini terus bertambah.

Beliau berkata, ia termasuklah memperkenalkan teknologi baharu dengan lebih dekat kepada golongan berkenaan.

“Kita juga telah dan akan memperkenalkan teknologi baharu seperti teknologi Internet Kebendaan (IoT) dan sebagainya.

“Ini mungkin dapat menarik minat golongan belia untuk menceburi dalam pertanian, perikanan dan ternakan,” katanya.

Mohd Zolkafly turut menzahirkan keyakinan beliau bahawa penyertaan belia dalam sektor berkenaan akan bertambah susulan kehadiran golongan berkenaan dalam seminar, kursus dan siri jelajah pertanian yang dianjurkan kerajaan negeri sebelum ini.

Semua aspek perlu dilihat Kerajaan Negeri bagi memastikan Perak kekal sebagai antara penyumbang tertinggi sektor pertanian negara memandangkan negeri ini mempunyai keluasan tanah yang subur dan sumber air yang mencukupi.

Ia selari dengan pelaksanaan Dasar Agromakanan Negara 2021–2030 (DAN 2.0) dan Pelan Perak Sejahtera 2030, yang menekankan aspek keterjaminan makanan dan pembangunan mampan. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI