Warga asing tak boleh jadi penjaja, pekerja pembantu – Kor Ming

KUALA LUMPUR – Warga asing tidak diiktiraf sebagai penjaja atau peniaga kecil di Malaysia dan larangan ini termasuk tidak membenarkan mereka bekerja sebagai pembantu di bawah lesen penjaja premis yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, larangan itu adalah jelas dan selaras dengan peraturan sedia ada di bawah Undang-Undang Kecil Penjaja serta Undang-Undang Kecil Tred, Perniagaan dan Perindustrian.

“Kami tidak mengiktiraf warga asing sebagai penjaja atau peniaga kecil malah mereka juga tidak dibenarkan menjadi pekerja pembantu di bawah lesen penjaja premis PBT. Lesen ini adalah keistimewaan untuk rakyat Malaysia,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Mohd Hasnizan Harun (Hulu Selangor) mengenai dasar kerajaan terhadap kebebasan warga asing membuka perniagaan di Malaysia dan tindakan terhadap premis yang menggunakan nama warganegara tetapi dikendalikan sepenuhnya oleh warga asing.

Larangan tegas ini bagaimanapun sering dimanipulasi warga asing dengan menggunakan nama pasangan warganegara atau ‘menyewa’ lesen milik rakyat tempatan, sekali gus menimbulkan persepsi seolah-olah kerajaan membenarkan mereka berniaga.

“Kita tidak mahu berlaku situasi pepatah ‘Kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan’. Kemudahan ini disediakan untuk rakyat kita, bukan warga asing,” tegasnya.

Bagi menangani isu berkenaan, KPKT bersama PBT dan agensi penguatkuasaan lain meningkatkan operasi secara berterusan.

Sehingga kini, 3,703 operasi dilaksanakan, 14,834 kompaun dikeluarkan, 23 lesen dibatalkan dan 2,880 premis disita atas pelbagai kesalahan termasuk pemindahan lesen secara haram kepada warga asing.

“Tindakan termasuk sitaan, kompaun, penutupan premis dan pembatalan lesen terhadap pemegang lesen yang ingkar,” katanya.

Selain itu, proses permohonan baharu dan pembaharuan lesen diperketat di peringkat negeri manakala operasi bersepadu bersama Jabatan Imigresen Malaysia dan Polis Diraja Malaysia terus dipertingkat bagi memastikan penguatkuasaan lebih efektif. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI