PASIR GUDANG – UMNO perlu strategi dan pendekatan berbeza dalam menawan hati golongan muda untuk meraih sokongan mereka dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ini kerana penerimaan dan pemikiran golongan muda di setiap kawasan atau negeri berbeza.
“Misalnya orang muda di Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Kedah adalah berbeza. Pendekatan ini perlu kerana 40 peratus pengundi di semua 222 kawasan Parlimen pada PRU-16 adalah orang muda.
“Jadi kita kena buat ‘engagement’ dengan 40 peratus ini, ini sangat penting. Mereka mempunyai pemikiran yang berbeza, ada yang mempunyai pendidikan yang tinggi, ada PHD, ada master dan ada degree.
“Mereka akan menilai setiap wakil rakyat dan calon dengan kacamata yang berbeza, contohnya (pendekatan) di Kuala Lumpur berbeza dengan di Kedah.
“Kita perlukan pemikiran yang berbeza untuk memenangi hati pengundi ini pada PRU akan datang,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Pasir Gudang di Dewan Muafakat Taman Mawar di sini hari ini
Turut hadir Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang.
Mengulas lanjut, Johari berkata, parti akan bekerjasama dengan pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha mendekati pengundi muda.
Terdahulu ketika berucap, Johari berkata, UMNO bukan parti untuk dapat jawatan, kekayaaan sebaliknya sebagai satu wadah berjuang untuk memartabatkan bangsa Melayu dan negara sejak sebelum merdeka.
Jelasnya, ramai pejuang yang memperjuangkan kemerdekaan tidak mendapat jawatan selepas negara merdeka sebaliknya UMNO terus melahirkan banyak golongan cerdik pandai dan tokoh.
Dalam pada itu, Johari berkata, Barisan Nasional (BN) sudah tidak boleh lagi syok sendiri yang berangggapan akan menang dengan mudah dalam PRU akan datang.
Jelasnya yang juga Menteri Perladagangan dan Komoditi, dinamik politik dalam setiap PRU adalah berbeza mengikut keadaan semasa tidak seperti sebelum ini. – MalaysiaGazette