Ini bukan pasal happy Tun, tapi selamatkan periuk nasi rakyat Malaysia – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyangkal kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menyifatkan Malaysia seolah-olah `gembira’ dengan persetujuan yang dicapai dalam isu tarif timbal balik dengan Amerika Syarikat (AS).

Menurut Tengku Zafrul, persetujuan itu bukan soal rasa `gembira’, sebaliknya merupakan pengurusan krisis ekonomi secara bertanggungjawab.

Jelasnya, kerajaan berunding bagi mengelak tarif 25 peratus yang dirancang dikenakan AS yang boleh mengancam lebih RM198 bilion dalam nilai eskport negara serta 10,000 peluang pekerjaan hanya dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E).

Akhirnya, ujar beliau, Malaysia menerusi rundingan itu berjaya mendapatkan kadar tarif yang sama seperti negara-negara ASEAN lain iaitu sebanyak 19 peratus dengan mengutamakan kepentingan dan kestabilan ekonomi.

“Ini bukan pasal happy Tun, tapi tanggungjawab untuk menyelamatkan periuk nasi dan mata pencarian rakyat Malaysia,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau malam tadi.

Terdahulu, Dr. Mahathir menerusi laman sosial Facebook beliau menyifatkan Kerajaan Malaysia sebagai `gembira’ dalam rundingan yang dicapai berhubung isu tarif dengan AS, sedangkan ia memberi kelebihan besar kepada Washington tetapi merugikan kepentingan nasional.

Sementara itu, Tengku Zafrul turut menafikan dakwaan Dr. Mahathir yang mana Malaysia dalam rundingan itu menghapuskan kesemua cukai terhadap 11,000 produk AS yang dieksport ke negara ini.

Hakikatnya, jelas beliau, hanya 60.4 peratus baris tarif yang dikenakan duti sifar dan pertukaran perdagangan itu dibuat bagi mengelakkan kesan limpahan negatif terhadap keseluruhan ekonom serta pasaran kewangan dan modal, bukannya `mengorbankan’ hasil cukai.

“100% dengan 60% tu jauh bezanya, Tun. 60% tu lebih sikit daripada separuh, langsung tak sama dengan semua (100%). Jadi tuduhan Tun jelas adalah PALSU,” katanya.

Tambahnya, Dr. Mahathir juga membuat kenyataan palsu berhubung dakwaan Malaysia akan membekalkan nadir bumi kepada AS sebagai syarat perjanjian dalam pengurangan tarif.

Sedangkan, tidak ada apa-apa perjanjian sama ada secara lisan atau bertulis untuk Malaysia berbuat demikian kepada AS atau mana-mana negara lain, sama ada secara eksklusif atau sebaliknya, jelas beliau.

Malah, berkuat kuasa 1 Januari 2024, Malaysia telah menguatkuasakan larangan eksport bahan mentah nadir bumi yang mana ia merupakan keputusan Jemaah Menteri dan tertakluk kepada pemantauan ketat serta semakan setiap enam bulan.

“Cuba baca balik kenyataan rasmi, Tun. TIADA perjanjian untuk bekal nadir bumi secara eksklusif. Dan tak ada mana-mana kenyataan pun yang menyatakan kita akan bekalkan nadir bumi mentah yang tidak diproses.

“Malah dasar sedia ada jelas MEWAJIBKAN nadir bumi diproses DALAM negara sebelum dieksport.

“Boleh Tun kongsi sumber tuduhan Tun tersebut?

“Tak salah untuk mengkritik, tapi bila kritikan tu berlandaskan kepada tuduhan palsu, itu SALAH!” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI