Tangani segera tanggapan MCA hanya boneka kepada UMNO – Lian Ker

KUALA LUMPUR – Pemimpin MCA perlu menangani segera tindakan UMNO yang didakwa memperlekeh serta tidak menghormati parti itu sebagai parti komponen Barisan Nasional (BN).

Bekas Naib Presiden MCA, Ti Lian Ker berkata, perkara itu sekiranya dibiarkan akan menguatkan tanggapan MCA hanya boneka kepada UMNO, sekali gus menjejaskan imej dan menolak parti itu menjadi semakin tidak relevan.

Menurutnya, kelangsungan dan keberkesanan politik MCA banyak bergantung kepada bagaimana rakyat terutama golongan atas pagar dan pengundi muda menilai peranan serta kewajaran MCA dalam situasi dan perkembangan politik semasa.

Jelas beliau, sekiranya MCA dilihat tunduk dan bergantung sepenuhnya kepada UMNO serta tidak agresif dan tegas dalam menangani isu politik yang menjejaskan imej serta maruah parti, maka orang luar iaitu pengundi akan menyingkirkan MCA.

“Kepimpinan MCA hari ini juga tidak boleh mengharapkan kepada sejarah kegemilangan parti itu atau rasa tidak puas hati masyarakat Cina kepada kerajaan atau DAP untuk mendapatkan semula sokongan.

“Sebaliknya, mereka mesti bangkit dan tampil berani apabila maruah parti itu dihina atau dipijak,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau semalam.

Tambah Lian Ker, MCA tidak boleh menafikan hakikat bahawa UMNO kini beralih kesetiaan politik kepada DAP, dan DAP pula semakin rapat dan mesra dengan UMNO menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) bertujuan menggantikan MCA sepenuhnya.

Katanya, rakyat dan ramai ahli MCA kini sedang menunggu kepimpinan MCA untuk bertindak, memberi reaksi atau sekurang-kurangnya menunjukkan pendirian, terutamanya apabila maruah dan harga diri MCA dicabar sejak DAP `berkahwin dengan UMNO’.

Terbaharu, ujarnya, apabila pemimpin-pemimpin DAP menghadiri taklimat menteri di Ibu Pejabat UMNO baru-baru ini, tanpa kehadiran wakil MCA dan MIC.

Dakwa beliau, berbeza dengan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran yang tegas dengan pendirian termasuk bersedia dengan langkah drastik menjauhkan diri daripada UMNO, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong sebaliknya terus membisu.

“Sikap tidak mahu bertindak, tidak mahu memberi reaksi atau respons terhadap penghinaan demi penghinaan seolah-olah ia strategi politik hanyalah sikap pengecut sekadar untuk menyenangkan diri sendiri.

“Pemimpin MCA boleh meminta pihak luar agar `tidak masuk campur’ dengan nada angkuh, tetapi tidak boleh menafikan pihak luar ini sebenarnya sedang melihat kelemahan dan ketakutan dalam kepimpinan MCA,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI