Pegawai kanan ATM, wartawan antara 10 direman SPRM

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman 10 individu termasuk lima pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dua wartawan agensi media atas talian, seorang pengurus syarikat, pembantu pentadbiran di Malaysian Medical Association (MMA) serta wanita warga asing kerana disyaki terlibat dengan sindiket penyeludupan yang beroperasi di selatan tanah air.

Empat suspek lelaki direman selama tujuh hari sehingga 20 Ogos 2025, dua lelaki dan seorang wanita direman selama dua hari sehingga 18 Ogos 2025, manakala dua lelaki dan seorang wanita warga Indonesia direman selama tiga hari sehingga 15 Ogos 2025.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.

Menurut sumber, lima pegawai kanan tentera dan lima orang awam berusia lingkungan 30 sehingga 55 tahun itu ditangkap di sekitar Lembah Klang menerusi Op Sohor dijalankan Bahagian Perisikan SPRM dengan Kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Rabu.

“Pegawai-pegawai kanan perisikan tentera tersebut dipercayai bersubahat dan membocorkan maklumat-maklumat operasi kepada sindiket penyeludupan bagi mengelakkan sindiket terbabit daripada dikenakan tindakan.

“Barang seludup yang dibawa masuk ke negara ini terdiri daripada dadah serta rokok dan barang-barang lain dari negara-negara jiran yang melibatkan nilai barangan seludup kira-kira RM5 juta sebulan,” katanya.

Sumber berkata, hasil risikan yang dijalankan selama 12 bulan mendapati, sindiket ini dipercayai membayar rasuah antara RM30,000 hingga RM50,000 kepada pegawai-pegawai kanan terntera berkenaan setiap kali menyeludup masuk barangan berkenaan dan rangkaian penglibatan pegawai-pegawai kanan tentera terbabit di dalam sindiket tersebut adalah besar serta kompleks.

Katanya, dalam operasi pada Rabu itu, SPRM turut menemui sejumlah wang tunai lebih RM63,000, beberapa bungkusan dipercayai dadah, alat penimbang dan penyukat, minuman keras serta senjata api tiruan.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin ketika dihubungi mengesahkan mengenai penahanan berkenaan dan berkata kes disiasat berkaitan jenayah rasuah dan aktiviti penggubahan wang haram. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI