IPOH – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menyasarkan tempoh setahun bagi menyiapkan Fasa Pertama projek Ipoh Sentral.
Menurutnya, pembangunan itu membabitkan pemeliharaan kawasan hijau seluas 2.5 hektar termasuk kerja penambahbaikan landskap serta pembinaan taman rekreasi.
Tambah beliau, Fasa Kedua pula melibatkan pembangunan bercampur di kawasan seluas 24.4 hektar dengan tempoh pembangunan dianggarkan selama 20 tahun.
“Kita menetapkan syarat kepada pemaju supaya mendahulukan kepentingan orang ramai dengan menyiapkan taman rekreasi terlebih dahulu sebelum mereka boleh memperoleh hasil daripada projek ini.
“Ini kerana taman rekreasi tidak memberikan keuntungan langsung kepada pemaju memandangkan tanah tersebut tidak boleh dijual, namun ia amat penting untuk masyarakat setempat.
“Seperti aspirasi Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pembangunan hanya akan bermakna sekiranya rakyat tempatan dapat merasai manfaatnya.
“Oleh itu, untuk warga Perak khususnya di Ipoh, saya telah menetapkan syarat kepada pihak pemaju supaya dalam tempoh enam hingga 12 bulan, Fasa Pertama yang melibatkan pembinaan taman rekreasi ini dapat disiapkan dan dibuka untuk orang ramai.
“Pemaju perlu ingat bahawa ini adalah syarat utama kerana hari ini projek dilancarkan di hadapan Perdana Menteri, maka komitmen tersebut perlu ditunaikan.
“Saya mahu dalam tempoh tidak sampai setahun, Perdana Menteri sendiri boleh kembali untuk merasmikan pembukaan taman rekreasi ini.
“Perancangan ini bukan sahaja menambah nilai kepada aspek ekonomi dan pengangkutan, malah turut merangsang industri pelancongan apabila Ipoh dapat menyediakan kawasan moden, lengkap serta mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian Majlis Pecah Tanah Pembangunan Ipoh Sentral yang disempurnakan Anwar di perkarangan Stesen Keretapi Ipoh, di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Dalam perkembangan berkaitan, Anthony berkata, pelaksanaan projek Ipoh Sentral dengan nilai pembangunan kasar RM6.2 bilion akan menjadi hub pengangkutan moden menghubungkan pelbagai mod perjalanan.
Di samping itu, beliau berkata, penyediaan pusat perniagaan dan komersial serta perumahan berhampiran kawasan tersebut sudah tentu akan menaikkan imej bandar raya Ipoh.
Pada 23 Januari lalu, Ipoh Sentral Sdn. Bhd. (ISSB) dan Country Annexe Sdn Bhd (CASB) telah menandatangani memorandum perjanjian untuk membangunkan Ipoh Sentral yang berkonsepkan TOD.
ISSB dibentuk oleh anak syarikat di bawah Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI) dan RAC manakala CASB pula merupakan anak syarikat milik Malaysia Resources Corporation Berhad (MRCB). – MG Perak
Artikel Berkaitan:
RM5 bilion wang rasuah dirampas, bukti kecekapan tatakelola kerajaan – PM