PASIR SALAK – Semua pemimpin UMNO dinasihati agar mematuhi keputusan serta memikir langkah panjang agar tidak menjejaskan toleransi dengan parti lain di dalam Kerajaan Perpaduan.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan mengejar populariti menerusi isu-isu semasa perlu dielakkan supaya hubungan baik dengan pemimpin parti lain dan akar umbi tidak terjejas.
“Kita nasihatkan supaya keputusan parti itu dipatuhi dan kita memikiran satu langkah panjang supaya ianya tidak menjejaskan toleransi dengan parti-parti yang lain.
“Jangan hanya berhasrat untuk mempopularkan sesuatu isu atau berhasrat menjadikan dirinya sebagai orang yang paling popular akhirnya akan menjejeaskan hubungan baik antara pemimpin-pemimpin parti dan juga apa lagi di peringkat akar umbi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai kenyataan pemimpin parti di dalam Kerajaan Perpaduan yang berhasrat memutuskan hubungan dengan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.
Ia ekoran tindakan Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau mengetuai perarakan dan demonstrasi di hadapan sebuah kedai logam di Kepala Batas, Pulau Pinang, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, pihaknya prihatin dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh beberapa pemimpin parti di dalam Kerajaan perpaduan yang mahu memutuskan hubungan dengan salah seorang pemimpin partinya.
“Saya berpandangan bahawa sesuatu keputusan itu jangan dibuat oleh kerana peristiwa-peristiwa yang berlaku di antara kepimpinan parti dan juga dengan pendirian parti.
“Di dalam keadaan itu saya memikirkan ada garis pemisah dan pertemuan yang kita boleh lakuan dan pandangan saya agar tindakan perundangan jika melanggar undang-undang mesti dilakukan,” katanya.
Tambahnya, UMNO tidak mahu kerana disebabkan sesuatu peristiwa keputusan politik terpaksa dilaksanakan dan ia akan menggoyahkan kesatupaduan yang ada dalam lapan belas parti Kerajaan MADANI.
Terdahulu Ahmad Zahid hadir ke Program Santunan Desa Kemas Negeri Perak Bersama JPKK Dan Komuniti Kemas di Dewan Besar Bandar Baru Felcra Seberang Perak, di sini.
Turut sama Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang dan Pegawai Khas Menteri Besar Perak Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Gajah, Khairul Azwan Harun. -MG Perak