GERIK – Dia lelaki maut selepas dirempuh sebuah kereta ketika sedang berhenti mengisi minyak ke dalam van yang berhenti di bahu jalan kilometer 86.6 Jalan Kuala Kangsar-Gerik- Pengkalan Hulu, pada Ahad.
Dalam kejadian sekitar jam 9.15 malam itu, mangsa yang maut ialah pemandu van berusia 45 tahun dan seorang penumpangnya berusia 18 tahun.
Sementara seorang lagi penumpang lelaki berusia 30 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Samad Othman berkata, sebelum kejadia,n van jenis Nissan Vanette yang dinaiki mereka dari arah Kuala Kangsar ke Gerik telah berhenti di bahu jalan kerana kehabisan minyak.
Katanya, ekoran itu pemandu bersama seorang penumpang lelaki berusia 18 tahun telah keluar dari kenderaan terbabit untuk mengisi minyak.
“Ketika kejadian, sebuah kereta Proton Wira yang dipandu seorang remaja lelaki berusia 19 tahun bersama dua penumpang dari arah sama, cuba mengelak sebuah kereta Proton Preve di hadapannya.
“Dalam usaha mengelak itu, kereta Proton Wira terbabit hilang telah kawalan lalu terbabas ke kiri dan merempuh van berkenaan serta dua lelaki yang sedang mengisi minyak,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.
Menurut beliau, akibat rempuhan kuat itu, penumpang van berusia 18 tahun mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ujar beliau, manakala pemandu van disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan awal di Hospital Daerah Gerik.
Abdul Samad berkata, kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu dengan melulu atau berbahaya.
“Pengguna jalan raya yang menggunakan laluan tersebut dinasihatkan agar lebih berhati-hati dalam keadaan jalan yang gelap untuk mengelak daripada berlakunya kemalangan,” tambahnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Lelaki OKU maut ditimpa motosikal roda tiga