TAIPING – Seorang pemandu lori muatan telur maut dalam kemalangan di KM198.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, Kamunting, di sini, awal pagi tdi.
Mangsa berusia 32 tahun disahkan maut pasukan perubatan selepas tersepit di dalam lori dipandunya.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, panggilan kejadian diterima pada jam 5.18 pagi.
Menurut beliau, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping digerakkan ke lokasi dan tiba pada jam 5.38 pagi.
“Kemalangan melibatan dua buat lori iaitu jenis Isuzu seberat satu tan membawa muatan telur yang melanggar bahagian belakang lori jenis Nissan UD seberat 10 tan yang membawa muatan tembikai.
“Pemeriksaan dilakukan mendapati seorang lelaki tersepit dalam lori muatan telur,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Shazlean berkata, Ketua Operasi kemudiannya melaksanakan ‘size-up’ seterusnya mengaplikasikan konsep ‘SAVER’ dengan mengarahkan anggota melaksanakan kerja penyelamatan menggunakan peralatan ‘telescopic’ bagi membuat renggangan dan ‘hydraulic cutter’ bagi membuat potongan bahagian kereta.
“Mangsa dibawa keluar menggunakan stretcher dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan KKM.
“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan pada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Operasi terkawal pada jam 6.48 pagi dan tamat sepenuhnya pada jam 6.52 pagi,” katanya. -MG Perak