DEWAN Belia Perak menjadi aspirasi untuk anak muda memperjuangkan visi dan mencorakkan masa depan serta berperanan sebagai ‘jambatan emas’ yang menghubungkan keberanian idea mereka dengan keazaman dasar kerajaan.
Di Perak, terdapat lebih 643,000 suara belia yang perlu didengari iaitu sebahagian daripada 9.5 juta belia di seluruh Malaysia.
Ini bagi memastikan setiap pandangan belia dapat disalurkan secara lebih terarah dan akhirnya menjadi sumbangan kepada hala tuju Perak Sejahtera 2030 dalam masa lima tahun lagi.
Pada tahun ini, seramai 63 ahli perwakilan Dewan Belia dipilih melalui format Kem Pemilihan yang pertama kali dilaksanakan dengan menilai kemampuan berhujah, kepimpinan, ketahanan mental, semangat berpasukan dan komunikasi berkesan.
Persidangan Dewan Belia Negeri Perak tahun ini membentangkan 11 usul utama meliputi pendidikan, ekonomi, sosial, pelancongan, teknologi, kelestarian alam sekitar, perumahan dan perkahwinan belia selaras dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Dewan Belia ini bukan tempatnya sekadar menekan butang mikrofon tetapi medan amanah tempat suara anak muda disusun dan visi diperjuangkan.
Menurutnya, negeri ini mempunyai sejarah panjang melahirkan pemimpin muda yang mencorak negeri dan negara, namun tradisi itu tidak akan kekal dengan sendiri.
“Ia mesti dirancang, dipupuk, dan diberi ruang. Dewan Belia ini adalah salah satu buktinya, manifestasi komitmen kerajaan negeri untuk menyuburkan kepimpinan muda yang berwawasan dan bersedia memimpin masa depan.
“Cabaran zaman ini tidak sama dengan zaman saya membesar. Bezanya ibarat langit dan bumi. Kini, dunia dipacu teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI), robotik dan ekonomi digital.
“Generasi kini adalah digital native, iaitu generasi yang lahir dalam ekosistem teknologi. Tetapi soalnya… adakah saudara saudari semua mahu sekadar menjadi pengguna, atau pencipta masa depan?,“ katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada perasmian Mesyuarat Pertama Tahun Pertama Dewan Belia Negeri Perak Sesi Kelima di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini baru-baru ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Saarani berkata, menurut McKinsey & Company, AI sahaja dijangka menyumbang USD15 trilion kepada ekonomi global menjelang 2030.
“Saya mahu anak muda Perak berdiri di barisan hadapan bukan hanya memegang telefon pintar, tetapi memegang paten ciptaan sendiri.
“Sebagai Menteri Besar, saya tidak hanya mahu menyeru dan mengarah, saya mahu bersama-sama anak muda mengharungi cabaran masa hadapan yang penuh dengan persaingan sengit, perubahan pantas dan peluang tanpa batas.
“Menyedari hakikat ini, kerajaan negeri memperkukuh agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai laluan utama pembangunan kemahiran.
“TVET kini merangkumi lebih daripada kemahiran teknikal tradisional dan ia meliputi automasi industri, tenaga boleh diperbaharui, teknologi makanan, kesihatan digital serta industri kreatif yang selari dengan pasaran kerja baharu dan masa depan Perak,“ ujarnya.
Tambahnya, menerusi Belanjawan Negeri 2025, sebanyak RM94.84 juta diperuntukkan khusus untuk pembangunan modal insan dan belia dan ia adalah pelaburan jangka panjang untuk belia menjadi tenaga mahir, pemikir strategik, usahawan berani, dan pemimpin berwibawa.
“Lihat pula pengisian RMK-13 (Rancangan Malaysia Ke-13) yang baru dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap tumpuan besar yang diberikan kepada Perak sebagai negeri yang sedang pesat tumbuh dan berkembang.
“Lima projek berimpak tinggi Perak disebut dan diulas dalam pembentangan tersebut. Projek Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC); Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP); Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV); hinggalah Taman Perindustrian Halal Perak (HIP).
“Tidak cukup dengan itu, peranan penting Perak sebagai pemain utama industri Unsur Nadir Bumi (REE) juga diberi perhatian.
“Terbaru, telah diumumkan pembinaan Kompleks Terminal Penggasan Semula Ketiga atau RGT-3 di LuMiC 2 tidak lama lagi, satu lagi mercu tanda strategik yang akan mengubah landskap ekonomi negeri,” jelasnya.
Katanya, projek-projek tersebut bukan sekadar mercu tanda ekonomi, tetapi pintu rezeki yang terbuka luas untuk belia Perak.
“Inilah masanya untuk anda menjadi tenaga mahir, pereka inovasi, pengurus industri halal, peneraju sektor ekonomi hijau dan membawa Perak ke peta dunia.
“Ledakan pembangunan ini bukan sahaja membuka ribuan peluang pekerjaan, tetapi juga menuntut keberanian untuk keluar dari zon selesa,” katanya.
Justeru, Saarani menasihati anak muda di negeri ini supaya melengkapkan diri dengan kemahiran baharu, pemikiran kritis, dan disiplin kerja yang tinggi.
“Dunia hari ini tidak memberi tempat kepada mereka yang sekadar menunggu peluang, sebaliknya mengiktiraf mereka yang berani merebut dan memanfaatkan peluang,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak komited perkasa orang asli melalui pendidikan, ekopelancongan