IPOH – Seorang wanita dilaporkan terbakar hampir keseluruhan badan dalam kejadian kebakaran melibatkan tiga buah kediaman di Jalan Perajurit, Taman Perajurit, Tambun di sini, pada Isnin.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, mangsa berusia lingkungan 40an dilaporkan melecur tahap tiga.
Menurut beliau, panggilan kejadian diterima pada jam 10.39 pagi dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambun, BBP Meru Raya, BBP Ipoh serta PBS Bercham digerakkan ke lokasi kejadian.
“Ketua operasi melaporkan kebakaran melibatkan tiga buah rumah jenis kelas A, teres satu tingkat berukuran 20’X70′ setiap satu musnah terbakar antara 80 hingga 10 peratus.
“Terdapat seorang mangsa wanita berusia lingkungan 40an dilaporkan mengalami tahap 3 melecuri dan hampir keseluruhan badannya terbakar,” katanya dalam satu kenyataan.
Shazlean berkata, mangsa telah dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS dan oeprasi pemadaman kebakaran dalam proses ‘overhaul pemadaman’.
Katanya lagi, operasi yang disertai 15 anggota bomba terkawal setakat jam 11.10 pagi tadi. -MG Perak