Penderaan lisan, mental, halang naik pangkat boleh dianggap buli – Azalina

PUTRAJAYA – Salah laku buli tidak terhad kepada kanak-kanak yang berlaku di sekolah semata-mata, malah ia boleh berlaku dalam kalangan golongan dewasa khususnya sektor pekerjaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman berkata, buli bukan hanya fizikal sahaja, bahkan gangguan itu boleh dilakukan melalui pertuturan dan mental.

“Buli tak dapat naik pangkat, buli suruh pekerja junior buat kerja dia, bawa kereta lepas waktu pejabat, tak boleh naik pangkat, tak boleh cuti, itu pun buli.

“Jadi buli ni bukan saja pada elemen kanak-kanak dan buli ini bukan sahaja fizikal buli, boleh penderaan lisan, boleh mental, kadang-kala penderaan mental ini lagi orang susah nak bukti,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa kerajaan menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Anti Buli sebagai langkah memperkukuh tindakan undang-undang dalam menangani gejala buli di negara ini.

Muhyiddin berkata, undang-undang khusus itu perlu digubal susulan insiden kematian pelajar, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir didakwa akibat perbuatan buli, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

Selain itu, Azalina berkata, pihaknya sedang mengkaji keperluan kepada satu tribunal khas untuk menangani kes-kes buli khususnya melibatkan pelajar-pelajar di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Kita kena tengok lah, sebab macam isu buli, setiap kementerian ada prosedur operasi standard (SOP) untuk buli.

“Kita ada kanun keseksaan, dia undang-undang khas. Walau bagaimanapun memang kerajaan macam BHEUU kita akan sama-sama mengkaji sama perlu ke tidak satu tribunal untuk kes-kes buli.

“Kalau kes buli di bawah 18 tahun dibaca bersama dengan Akta Kanak-Kanak walaupun dia ke mahkamah mungkin prosedur tribunal yang diperlukan.

“Ini semua dalam perbincangan. Jadi kita masih kena buat libat urus, bincang dengan pejabat pesuruhjaya kanak-kanak,” katanya.

Menurut Azalina, keperluan untuk mewujudkan tribunal khas menangani salah laku buli boleh menjimatkan masa mahkamah jika kes seumpamanya dibawa ke muka pengadilan.

“Saya selalu percaya kemungkinan hukumannya lebih kepada rehabilitasi, ia sama macam gangguan seksual pun, dia ada kekurangan karakternya.

“Tapi dalam negara kita, walaupun dalam aspek undang-undang yang ada, banyak sistem pun boleh kita guna pakai, tak ada masalah.

“Tapi mungkin di sekolah, kerana masalah 18 tahun ke bawah, kita kena berhati-hati,” katanya.

Jelasnya, sekiranya prosiding kes buli dibawa ke mahkamah kanak-kanak, golongan ini boleh mendapat bantuan guaman dan pembelaan awam.

“Kita nak bagi banyak perlindungan kanak-kanak, semua dapat pendampingan guaman dalam mana-mana kes.

“Jabatan Bantuan Guaman akan secara otomatik bagi bantuan, bukan peguam tapi pendampingan kanak-kanak, dia ikut kanak-kanak pergi sini, pergi sana dan sebagainya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI