BANGI – Cadangan menggubal Akta Anti-Buli bagi penubuhan tribunal khas untuk mendengar kes-kes buli khususnya melibatkan pelajar dan kanak-kanak masih belum dimuktamadkan.
Ini kerana cadangan tersebut memerlukan penelitian menyeluruh termasuk libat urus bersama kementerian, pakar serta pihak berkepentingan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan mahu memastikan setiap aspek dipertimbangkan dengan teliti sebelum keputusan muktamad dibuat di peringkat Kabinet.
“Saya akan bentang kepada Kabinet selepas kita dapat pandangan pihak berkepentingan, pakar dan kementerian terlibat, barulah kita akan menilai sistem tersebut.
“Tribunal ini sebenarnya satu lagi mekanisme untuk menyelesaikan kes dengan cepat berbanding hanya melalui mahkamah,” katanya.
Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas menghadiri Seminar Literasi Undang-undang Perundangan Negara 2025: Kesalahan Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan kajian keperluan menggubal Akta Anti Buli yang menggunakan sistem tribunal bagi kes membabitkan pelajar dan kanak-kanak akan dibawa ke Kabinet.
Dalam pada itu Azalina turut menjelaskan mesyuarat mengenai cadangan itu akan diadakan minggu depan dengan melibatkan semua kementerian yang mempunyai prosedur operasi standard (SOP) masing-masing berhubung kes buli.
“Akan ada mesyuarat minggu depan. Semua kementerian yang ada SOP masing-masing mengenai kes buli akan dijemput untuk mesyuarat itu kerana kita perlu semak,” jelasnya.
Beliau menjelaskan, buat masa ini tiada peruntukan undang-undang khusus mengenai perbuatan buli walaupun Kanun Keseksaan mempunyai peruntukan tertentu yang boleh dikaitkan dengan kesalahan itu.
“Saya terangkan dalam ucapan tadi, Kanun Keseksaan memang ada undang-undang khusus, tetapi tidak bagi buli kerana definisinya pun belum ada,” ujarnya.
Katanya, setiap kementerian kini mempunyai protokol masing-masing, namun kerajaan mahu melihat keberkesanan pendekatan tribunal seperti yang digunakan dalam Akta Gangguan Seksual.
“Daripada kejayaan akta gangguan seksual itu, sistem tribunal berfungsi untuk pencegahan kerana kes dapat diselesaikan lebih cepat. Hukuman juga bukan hanya berbentuk sabitan, tetapi termasuk kaunseling pemulihan. Jadi kita kena lihat sama ada perkara ini wajar dipertimbangkan,” tambahnya.
Beliau turut mengulas bahawa cadangan menggantikan hukuman sebat mandatori dengan sebatan atas budi bicara juga masih di peringkat penilaian kesesuaiannya oleh Jawatankuasa Semakan dan Kajian Pembaharuan Undang-Undang Jenayah (CLRC).
“Kita sedang menilai semua undang-undang berkaitan sebatan. Saya tak kata sebatan tak boleh ada. Saya kata kita sedang kaji untuk gantikan sebatan mandatori dengan sebatan atas budi bicara. Maksudnya hakim ada kuasa untuk buat keputusan,” katanya.
Semalam, Azalina berkata, hukuman sebat mandatori adalah antara peruntukan yang dinilai kesesuaiannya oleh UCLRC.
Jelasnya, penelitian sedang dilakukan terhadap pelbagai undang-undang yang wujud sejak zaman penjajah, termasuk peruntukan bertindih. – MalaysiaGazette