IPOH – Seorang lelaki warga emas ditemui maut di sebuah rumah di Taman Chemor Idaman, di sini, selepas pihak berkuasa menerima aduan daripada jiran yang memaklumkan mangsa terkunci dalam kediamannya, pada Selasa.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.34 petang.
Menurutnya, sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya kemudiannya digerakkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan tersebut.
“Sebaik tiba, anggota mendapati pintu utama rumah berkenaan berkunci dan pasukan bomba menggunakan peralatan khas paratech sambil disaksikan pihak polis yang turut berada di lokasi.
“Selepas pintu berjaya dibuka, terdapat seorang lelaki warga emas berumur 76 tahun ditemui berada di ruang tamu rumah.
“Mangsa didapati telah meninggal dunia dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, operasi terkawal sekitar jam 7.02 malam dan tamat sepenuhnya 22 minit kemudian. – MG Perak