Kerajaan tubuh Majlis Sejarawan Negara nasihat naratif sejarah negara

PUTRAJAYA – Kerajaan hari ini buat julung-julung kalinya menubuhkan Majlis Sejarawan Negara iaitu sebuah badan berautoriti yang berperanan penting menasihati kerajaan berhubung naratif sejarah negara.

Majlis Sejarawan Negara, yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang selaku timbalan pengerusi, dianggotai 17 tokoh dengan tempoh lantikan selama dua tahun bermula 1 Ogos 2025 hingga 31 Julai 2027.

Keanggotaan majlis tersebut terdiri daripada 10 sejarawan, dua ahli arkeologi, dua ahli antropologi dan sosiologi, serta masing-masing seorang wakil daripada KPN, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Antara tokoh yang dilantik ialah Prof Emeritus Datuk Dr Ahmat Adam; Prof Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali; Prof Emeritus Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman; Prof Datuk Dr Danny Wong Tze Ken; Prof Dr S.R Sivachandralingam; Profesor Madya Dr Asyaari Muhamad; Prof Dr Stephen Chia Ming Soon; dan Prof Dr Poline Bala.

Selain itu, Ketua Setiausaha KPN Datuk Haslina Abdul Hamid; Ketua Setiausaha KPT Datuk Dr Anesee Ibrahim; serta Ketua Setiausaha KPM Datuk Dr Aminuddin Hassim.

Pada majlis berkenaan, Anwar menyampaikan watikah pelantikan kepada kesemua 17 anggota Majlis berkenaan.

Dalam pada itu, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, penubuhan majlis tersebut penting bagi memastikan aspek kajian, sumber, penulisan, penerbitan, pendidikan serta advokasi sejarah negara berada pada landasan yang betul demi kestabilan, keamanan dan perpaduan nasional.

“Langkah kerajaan menubuhkan majlis ini adalah inisiatif strategik sejajar membangunkan identiti nasional yang kukuh dan berpaksikan sejarah, memastikan ketepatan fakta sejarah dalam wacana awam dan pendidikan, serta menyediakan wadah profesional kepada sejarawan,” katanya dalam ucapannya.

Menurutnya, cadangan penubuhan Majlis Sejarawan Negara pertama kali dikemukakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika merasmikan Konvensyen Sejarah Negara dan Perpaduan Nasional tahun lalu, sebelum diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 24 Januari lepas.

Dalam kenyataan berasingan, KPN memaklumkan Majlis Sejarawan Negara turut berperanan menjana idea baharu untuk memantapkan pendidikan sejarah negara yang inklusif selaras dengan identiti Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum.

“KPN terus menyokong usaha ke arah pembinaan naratif sejarah yang mencerminkan kepelbagaian dan penyatuan, agar generasi akan datang dapat mempelajari sejarah negara berasaskan fakta yang sahih serta dapat dibuktikan dengan jelas,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI