Perak berjaya keluarkan 9,686 KIR miskin tegar – Salbiah

IPOH – Kerajaan Negeri Perak berjaya menoktahkan kemiskinan tegar seramai 9,686 Ketua Isi Rumah (KIR), dengan pecahan seramai 8,986 KIR pada tahun 2024 dan 700 KIR sehingga 3 September 2025.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, kejayaan berkenaan menjadikan negeri ini berjaya merekodkan angka kosong KIR miskin Tegar.

“Selain itu, sehingga 3 September 2025 kita juga telah berjaya mengeluarkan seramai 5,719 KIR dari status KIR miskin menjadikan angka terkini KIR miskin di Negeri Perak adalah sebanyak 2,064 KIR iaitu penurunan sebanyak 73.6 peratus.

“Saya mohon seisi dewan kita berikan tepukan gemuruh dan penghormatan kepada seluruh jentera kerajaan Perak dari peringkat Kampung, mukim, daerah mahupun negeri kerana bertungkus lumus menjayakan usaha tanpa noktah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Dr Mohamad Yusri Bakir (BN-Ayer Kuning) sewaktu Sesi Soalan-soalan Lisan pada Mesyuarat Kedua, Tahun Ketiga Dewan Negeri Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Rabu.

Salbiah turut menegaskan bahawa angka rasmi berkenaan tidak pernah menipu ekoran terdapat segelintir pihak memandang sinis dan sepi usaha yang dilakukan kerajaan negeri.

Beliau berkata, malah ada juga mendakwa ia sekadar agenda politik semata-mata meskipun Kerajaan Negeri meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.

Mengulas lanjut, Salbiah berkata, bagi memastikan miskin tegar terus dinokhtah di negeri ini pelbagai usaha dilakukan termasuklah mengambil pendekatan baharu melalui Program One Stop Centre (OSC) Sejahtera Sosial Negeri Perak.

“Pada tahun 2025, Program OSC Sejahtera Sosial Negeri Perak ini mengambil pendekatan baharu di mana program dengan pendekatan yang sama telah memberi tumpuan intervensi semua agensi kerajaan ke peringkat Mukim supaya lebih berfokus dan dekat dengan rakyat.

“Pada tahun ini juga, pengisian program telah bertumpu kepada generasi kedua dan murid tercicir dari pelajaran. Ianya bagi memastikan kemiskinan sesebuah keluarga itu tidak diwarisi dan seterusnya berlaku mobiliti sosial ke tingkat yang lebih baik bagi keluarga berkenaan,” katanya.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri Perak turut memberi penekanan kepada program peningkatan pendapatan melalui bantuan peralatan perniagaan dan program pemadanan pekerjaan yang dilihat dapat membantu peserta meningkatkan ekonomi kendiri dan keluarga.

“Program seumpamanya banyak disediakan oleh agensi-agensi seperti Bantuan Peralatan melalui Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Geran Gerak melalui Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP), Bantuan Peralatan Biznita melalui Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak (SPW), padanan pekerjaan melalui Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) dan sebagainya untuk memastikan pendapatan golongan ini dapat dipertingkatkan.

“Selain itu, bantuan bulanan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak masih diteruskan kepada kumpulan sasar yang benar-benar memerlukan,” katanya.

Salbaih berkata, secara keseluruhannya, jentera kerajaan sama ada agensi-agensi kerajaan negeri mahupun persekutuan di negeri Perak akan terus menggiatkan usaha bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Usaha noktahkan KIR miskin tegar di Perak berterusan – Salbiah

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI