KUALA LUMPUR – Barang kemas seberat 3.2 kilogram bernilai RM1.6 juta antara pelbagai barangan berharga disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor daripada enam individu disyaki terlibat sindiket mengatur kaunter atau counter setting dalam Op Rentas pada 9 dan 11 Sept lepas.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata selain barang kemas, turut dirampas dalam penggeledahan di kediaman enam individu berkenaan adalah 75 kepingan emas bernilai kira-kira RM400,000.
Beliau berkata turut disita sebidang tanah lot, rumah, beberapa kenderaan mewah, wang tunai RM20,000 dan pelbagai jenis beg tangan serta 20 jam tangan berjenama bernilai anggaran RM100,000.
Ahmad Khusairi berkata lima daripada pemilik barangan itu adalah pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang bertugas menjaga kaunter di lapangan terbang manakala seorang lagi orang awam.
“Menerusi penggeledahan dilakukan SPRM Selangor itu, pihaknya turut membekukan 70 akaun bank berkaitan sindiket berkenaan, menjadikan nilai keseluruhan sitaan kira-kira RM3.3 juta,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ahmad Khusairi berkata lima pegawai imigresen berkenaan dipercayai menerima wang daripada ejen sebagai balasan memudahkan urusan kemasukan warga asing ke negara ini.
Beliau berkata kes masih disiasat mengikut Seksyen 17A Akta SPRM 2009.
Media semalam melaporkan SPRM membongkar kegiatan sepasang suami isteri, yang juga pegawai penguat kuasa membuka sebuah kedai emas disyaki hasil rasuah.
Pasangan suami isteri berusia lingkungan 40-an itu dipercayai berperanan mengatur kemasukan warga asing yang tidak memiliki dokumen lengkap ke negara ini tanpa mematuhi undang-undang sejak empat tahun lepas.
– BERNAMA