IPOH – Pemandu maut manakala penumpang cedera selepas kereta yang mereka naiki terbabas melanggar pembahagi jalan dan terbalik di Kilometer 257 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di sini pada Isnin.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, ketika tiba di lokasi pada jam 8.26 pagi, pihaknya mendapati kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Nissan Almera yang dinaiki dua wanita.
“Mangsa, pemandu wanita berusia 28 tahun cedera manakala penumpang wanita maut di lokasi kejadian.
“Ketua Operasi melakukan penilaian dan membuat pemantauan di lokasi kemalangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang cedera diberikan rawatan awal oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dihantar ke hospital dengan menggunakan ambulans.
“Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Operasi yang dikendalikan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya itu tamat sepenuhnya jam 9.22 pagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan: