LUMUT – Polis menahan seorang lelaki warga emas selepas disyaki terbabit dalam pergaduhan yang meragut nyawa rakannya di sebuah pusat jagaan di Sungai Pinang Kecil, Pangkor dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian itu pada jam 2 petang.
Menurutnya, pergaduhan tersebut melibatkan dua lelaki warga emas berusia 73 tahun dan seorang daripadanya ditemui tidak sedarkan diri akibat kecederaan di bahagian kepala.
“Mangsa disahkan meninggal dunia lebih kurang jam 1.45 petang oleh pihak perubatan Klinik Kesihatan Pangkor yang tiba di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk tujuan bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.
Hasbullah berkata, motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Bertindak atas maklumat orang awam, suspek berjaya ditahan pada hari sama sekitar jam 2.30 petang di hadapan sebuah kedai makan di Sungai Pinang Kecil.
“Majistret Mahkamah Seri Manjung membenarkan tahanan reman selama tujuh hari ke atas suspek bermula hari ini untuk siasatan lanjut,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Sukjit Singh Jagara Singh di talian 019-550 5536 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di talian 05-688 6222.
Tambahnya, maklumat juga boleh disalurkan melalui hotline WhatsApp 017-682 8005 bagi membantu siasatan. – MG Perak
Artikel Berkaitan: