PARIT BUNTAR – Sebanyak 102 tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi disita Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak dalam serbuan di sebuah premis perniagaan di Jalan Pantai Kuala Kurau, pagi semalam.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan kira-kira jam 9.34 pagi itu dilaksanakan oleh sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa menerusi Ops Gasak 2025.
“Serbuan dijalankan hasil maklumat risikan dan pemantauan selama seminggu oleh pasukan penguat kuasa KPDN Perak terhadap aktiviti penyalahgunaan barang kawalan bersubsidi di kawasan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati premis terbabit menyimpan 102 tong LPG bersubsidi seberat 12 dan 14 kilogram tanpa kebenaran,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, selain tong LPG bersubsidi, pasukan penguat kuasa turut menyita sebuah lori dan beberapa dokumen berkaitan dengan nilai keseluruhan sitaan dianggarkan RM31,690.80.
“Pemilik premis disyaki melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974 kerana menyimpan barang kawalan berjadual tanpa permit,” ujarnya.
Kamalludin menegaskan, KPDN Perak akan terus mempertingkatkan operasi penguatkuasaan bagi memastikan tiada pihak sewenang-wenangnya mengambil kesempatan menyalahgunakan barang kawalan bersubsidi yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
KPDN serbu rumah terapung, sita 79 tong LPG di Tasik Banding