Umur PM bawah 70 tahun: Isyarat halus Pas tolak Muhyiddin

IPOH – Cadangan PAS agar umur Perdana Menteri berusia bawah 70 tahun merupakan isyarat halus menolak pencalonan Tan Sri Muhyiddin Yassin memegang jawatan tersebut.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, cadangan tersebut ditimbulkan ketika Perikatan Nasional (PN) mahu memilih calon perdana menteri jika mereka menjadi kerajaan kelak.

Beliau berkata, meskipun Pas tidak memetik nama berkenaan secara terang ia sudah cukup menjelaskan bahawa usia Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu sudah melebihi 70 tahun.

Beliau berkata, cadangan yang diutarakan Pas itu di saat menentukan siapa calon Perdana Menteri mereka cukup jelas bahawa mahu Muhyidin memberi laluan kepada individu lain.

“Cadangan ini datang di tengah-tengah polemik menentukan calon Perdana Menteri Perikatan Nasional (PN). Jadi saya nampak ia lebih bersifat tidak bersetuju dengan Tan Sri Muhyiddin.

“Atau pun disebut dalam bahasa yang lebih halus aku tak nak Muhyiddin. Tapi dia tidak sebut nama, sebut umur sebab umur Muhyidin sudah lebih 70 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Rangkaian Pusat Pencerapan Kesihatan Komuniti SDG (MASCHON) Peringkat Parlimen Tambun bersama Persatuan Kanser Nasional Malaysia (NCSM) di Dewan NCSM-Caritas, Kampung Simee di sini, pada Rabu.

Muhammad Kamil turut berpandangan bahawa umur bukanlah syarat utama untuk membolehkan seseorang dilantik menjadi Perdana Menteri sebaliknya faktor lain seperti kemampuan untuk bekerja, kecerdasan, kesihatan tubuh badan dan kefahaman terhadap kehendak rakyat juga penting.

Media sebelum ini melaporkan, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang ketika Muktamar Tahunan Pas Ke-71 menegaskan beliau tidak layak menjadi Perdana Menteri kerana faktor usia dan kesihatan.

Beliau menyebut calon sesuai mestilah berusia bawah 70 tahun, sihat serta gagah untuk memimpin negara.

Bagaimanapun, Abdul Hadi menegaskan kenyataannya merujuk kepada dirinya sendiri, bukan pihak lain. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI