GERIK – Seorang anggota polis maut dalam nahas jalan raya melibatkan sebuah kereta dengan dua treler masing-masing muatan kayu balak dan baja di kilometer (km) 85.3 Kuala Kangsar – Gerik – Pengkalan Hulu, pada Rabu
Mangsa dikenali sebagai Sarjan Mohd Fahmi Arzmi, 42, dan berkhidmat sebagai anggota di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Samad Othman, berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan nahas tiga kenderaan itu pada jam 1.50 pagi.
Katanya, hasil siasatan mendapati sebuah treler jenis Mercedes Benz dengan muatan kayu balak dipandu oleh seorang lelaki berusia 59 tahun dari arah Gerik ke Kuala Kangsar.
Ujar beliau, sementara sebuah lagi treler jenis Scania dengan muatan baja dipandu lelaki berusia 23 tahun dari arah bertentangan.
“Pada masa sama, terdapat sebuah kereta jenis Toyota Vios dipandu seorang anggota polis IPD Gerik berada di belakang treler muatan kayu balak.
“Semasa tiba di tempat kejadian treler muatan baja telah terbabas dan melanggar bahagian tepi kanan treler muatan balak, serta bergeser antara dua buah treler tersebut.
“Treler muatan baja kemudian telah masuk ke laluan bertentangan dan melanggar sebuah kereta jenis yang pada masa itu sedang bergerak,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.
Menurut beliau, treler muatan baja kemudan melanggar besi penghadang jalan sebelah kanan sebelum terbalik.
Abdul Samad berkata, susulan daripada nahas terbabit, pemandu Toyota Vios disahkan meninggal di tempat kejadian.
“Sementara itu, pemandu treler muatan baja cedera pada bahagian kepala dan sedang menerima rawatan di Hospital Taiping. Manakala pemandu treler muatan kayu balak tidak mengalami apa-apa kecederaan,” katanya lagi.
Beliau memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian itu diminta untuk menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nik Zailan Nik Li di talian 019-9004785 bagi membantu siasatan.
Selain itu beliau juga menasihatkan pengguna jalan raya khususnya yang melalui jalan tersebut agar lebih berhati-hati untuk mengelak daripada berlakunya kemalangan. – MG Perak
Artikel Berkaitan: