KUALA LUMPUR – UMNO akan memastikan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) ditambah baik khususnya dalam menangani keresahan rakyat sebelum diluluskan di Parlimen.
Ketua Pasukan Khas UMNO bagi penambahbaikan RUU PSB, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, penambahbaikan itu mengambil kira input diterima menerusi libat urus yang diadakan bersama pelbagai pihak sama ada dengan persatuan penduduk, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat hartanah, pemaju serta banyak pihak lagi.
Malah, ujar beliau yang juga Naib Presiden UMNO, penambahbaikan itu juga akan melibatkan resolusi yang dicapai dalam Konvensyen Pembaharuan Semula Bandar anjuran sekretariat UMNO tersebut hari ini.
Ujar beliau, UMNO menerima lebih 1,200 maklum balas dalam tempoh kira-kira tiga hari menjelang penganjuran konvensyen itu dari pelbagai pihak di seluruh negara ke arah penambahbaikan RUU tersebut yang akan diperhalusi dan dipertimbangkan sebaik mungkin.
“Yang paling penting, saya mahu tekankan bahawa majoriti komen, pandangan atau kritikan yang kita terima secara konsepnya, mereka memahami betapa pentingnya RUU PSB ini.
“Tetapi mereka ada pandangan yang merasakan bahawa RUU ini dalam keadaan sekarang adalah tidak komprehensif dan meninggalkan banyak tanda tanya dan persoalan yang tidak boleh dijawab oleh pihak sepatutnya.
“Sebab itu mereka berpandangan kerajaan perlu melihat semula RUU PSB ini,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Terdahulu, seramai 11 pembahas daripada pelbagai latar belakang mengambil bahagian dalam pembentangan pada Konvensyen Pembaharuan Semula Bandar itu yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari ini.
Antaranya ialah Setiausaha Agung, Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan, Datuk Chang Kim Loong; Setiausaha Agung, Majlis Perundingan Melayu (MPM); Datuk Dr. Hasan Mad; Felo Akademi Sains Malaysia, Prof. Datuk Dr. Alias Abdullah dan peguam, Adriana Abu.
Input daripada konvensyen itu kemudiannya dijadikan sebagai sebahagian dariapada resolusi yang diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Dr. Ahmad Zahid Hamidi UMNO untuk dikemukakan kepada kerajaan.
Sementara itu, Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, RUU PSB tidak boleh dipandang remeh memandangkan ia melibatkan kepentingan penduduk, pemilik tanah dan banyak pihak berkepentingan lain.
Selain itu RUU PSB itu turut menyentuh pelbagai aspek lain seperti soal kebajikan dan kesejahteraan penduduk yang terlibat dalam pengambilan semula tanah; kuasa yang diberikan kepada kementerian; kelebihan kepada pemaju; pertindihan akta-akta sedia ada dan sebagainya.
“Ada banyak isu dan inilah perkara-perkara yang saya rasa menyebabkan majoriti rakyat termasuk di negeri-negeri lain yang bimbang dengan RUU PSB ini yang perlu diberi perhatian,” kata Johari.
Sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dilaporkan berkata, RUU PSB dijangka dibentangkan bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat pada Isnin depan.
Terdahulu, RUU PSB 2025 yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama sebelum ini antara lain bertujuan memastikan kawasan perumahan lama yang uzur, daif dan usang dapat dibangunkan semula secara lebih terancang, adil dan inklusif demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan bandar yang mampan.
Bagaimanapun, RUU PSB itu mendapat bantahan banyak pihak termasuk dalam kalangan Ahli Parlimen kerajaan sendiri, selain Pemuda Pas turut merancang mengadakan himpunan aman bagi membantah RUU tersebut di ibu negara esok. – MalaysiaGazette