PERMATANG PAUH – Pendekatan mendidik dan pembangunan holistik murid menjadi keutamaan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam menangani masalah buli, berbanding mengenakan hukuman seperti rotan.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, hukuman merotan bukanlah jalan penyelesaian kepada isu buli, sebaliknya KPM menekankan pendekatan lebih menyeluruh.
“Barangkali ramai yang tak suka sebab ramai kata ‘rotan je, wajib’.
“Senang sahaja orang cakap rotan, tapi tidak semudah itu. Bagi kita, pendekatan mesti pendekatan mendidik, mesti pendekatan holistik.
“Kita perlu ambil kira semua aspek pembangunan kanak-kanak ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Kempen Anti Buli 2025 anjuran Wanita Keadilan Pulau Pinang bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Yayasan Aman, Kubang Semang di sini, hari ini.
Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal menegaskan, KPM mempunyai banyak pilihan intervensi tegas bagi membendung gejala buli di sekolah.
“Antaranya gantung sekolah, beri amaran atau buang sekolah, semua kita boleh ambil tindakan itu.
“Tapi satu perkara kita kena ingat, bila kita gantung budak, kita buang budak, budak-budak ini akan masuk balik sekolah di bawah KPM untuk kita kembali didik mereka.
“Sebab itu kita tak boleh terlalu cepat mengambil kira hukuman semata-mata, sebaliknya melihat seluruh aspek pembangunan dan juga peluang kepada anak-anak ini,” katanya.
Media sebelum ini hukuman rotan wajar dilaksanakan semula di sekolah, namun dengan syarat ia dilakukan secara terkawal dan tidak sampai menjejaskan kesihatan murid.
Ia susulan dunia pendidikan kini berdepan cabaran besar dalam menangani masalah disiplin murid. – MalaysiaGazette