Zachrin Jaafars: Busana tempatan berjiwa Perak diangkat ke pentas global

NAMA Sazrin Jaafar, pengasas dan pereka di sebalik jenama Zachrin Jaafars, kini semakin meniti di bibir penggiat industri fesyen tanah air apabila berjaya membawa identiti Slim River dan budaya Perak ke peringkat global.

Bermula dengan perasaan ragu-ragu terhadap kedudukan perniagaannya yang beroperasi di luar bandar, pemuda berusia 33 tahun itu berjaya membuktikan bahawa lokasi bukanlah penghalang untuk mencipta kejayaan.

Jenama Zachrin Jaafars bukan sekadar label fesyen, tetapi sebuah platform untuk mengangkat warisan, budaya dan keunikan seni kraf tempatan ke tahap lebih tinggi.

Setiap rekaan yang dihasilkan menggabungkan elemen moden dan tradisional, mencerminkan keindahan identiti negeri Perak serta kehalusan tangan pereka tempatan yang penuh kreativiti dan cita rasa seni.

Rasa ragu-ragu di awal perniagaan

“Sewaktu memulakan perniagaan, saya agak ragu-ragu kerana lokasi untuk membangunkan perniagaan ini di Slim River, namun itu tidak menghalang saya. Tidak semestinya kita berada di luar bandar, kita tidak boleh buat.

“Sebab itu, pentingnya kita melanjutkan pengajian tidak kisah sama ada bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) atau pendidikan tinggi.

Zachrin Jaafars: Busana tempatan berjiwa Perak diangkat ke pentas global
Sazrin Jaafar (empat dari kanan) bersama busana tradisional rekaannya sewaktu menghadiri acara ASEAN Cultural Day 2024 di Washington DC, Amerika Syarikat. Foto Facebook Maison.Zachrinjaafars

“Menerusinya, kita akan menyelami apa kebolehan kita dan tidak semestinya berada di bandar sahaja boleh berjaya, bagi saya Slim River dekat dengan Kuala Lumpur dan boleh membantu mengembangkan perniagaan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas berkongsi pengalaman dalam program AIM TVET Bersama Cikgu Saarani sempena Karnival Mesra Anak Muda (KAMU) 2025 di Stadium Indera Mulia di sini baru-baru ini.

Bukan sekadar promosi perniagaan

Anak peneroka Felda dari Felda Gunung Besout 1 di Sungkai ini turut menekankan kepentingan memahami strategi lokasi serta kemudahan capaian yang baik dalam membangunkan perniagaan.

Malah, beliau sering menjalankan program pendidikan kepada pengikut media sosial dan masyarakat luar mengenai Slim River, termasuk memperkenalkan tarikan serta potensi ekonomi tempatan.

“Kadang-kadang promosi berkaitan perniagaan kita sahaja tidak cukup, tetapi kita perlu mempromosikan cerita kita, cerita rakyat, cerita masyarakat kepada umum.

Zachrin Jaafars: Busana tempatan berjiwa Perak diangkat ke pentas global
Pereka fesyen muda, Sazrin Jaafar ketika temubual bersama MG Perak di Perkarangan Stadium Indera Mulia, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

“Memandangkan saya berada di Slim River, sudah pasti cerita yang saya sampaikan adalah produk-produk tempatan yang berkaitan dengan budaya negeri Perak itu sendiri supaya dapat membuatkan pelanggan datang ke tempat kita.

“Dari situ, saya pelajari apa kebolehan orang-orang Perak, apakah seni Perak yang mungkin telah tenggelam tapi tiada siapa yang boleh mengangkatnya secara relevan kepada masyarakat ataupun generasi yang akan datang,” ujarnya.

Tembus pentas global

Tidak terhad di Perak, beliau turut meneroka potensi seni dan budaya di seluruh negara selepas lebih 10 tahun berkecimpung dalam industri serta berpeluang mewakili Malaysia ke peringkat antarabangsa.

“Alhamdulillah, saya telah berjaya membawa produk saya ke luar negara. Maksudnya, dalam satu tahun saya berjaya ke Amerika Syarikat mewakili Malaysia untuk mempromosikan seni dan kraf tempatan serta mempromosikan jenama saya,” katanya.

Beliau pernah menyertai beberapa acara seperti ASEAN Cultural Day 2024 dan Songket Malaysia Day 2024 di Washington DC, Amerika Syarikat dan Laos Fashion Week 2025 bagi memperagakan busana tradisional Melayu hasil rekaannya.

Bangga dapat cerita pengalaman kepada anak muda Perak

Graduan Ijazah Sarjana Muda Rekaan Fesyen Universiti Teknologi Mara itu turut berasa berbangga kerana Kerajaan Negeri Perak memilihnya untuk berkongsi pengalamannya kepada anak-anak muda tempatan.

“Saya rasa sangat berbangga kerana mereka (kerajaan negeri) memilih saya untuk ke sini untuk bercerita sebab, selalunya saya bercerita pasal Perak hanya untuk orang luar,” ujarnya.

Zachrin Jaafars: Busana tempatan berjiwa Perak diangkat ke pentas global
Sazrin Jaafar (dua dari kiri) bersama busana tradisional rekaannya sewaktu menghadiri acara Songket Malaysia Day 2024 di Washington DC, Amerika Syarikat. Foto Facebook Maison.Zachrinjaafars

Sazrin turut menganggap peluang itu sebagai satu penghormatan untuk memberi inspirasi kepada anak muda negeri Perak supaya terus berani menceburi bidang kemahiran dan TVET.

“Bagi saya, semua orang perlu ada sekurang-kurangnya satu kemahiran kerana ia mampu membuatkan kita terbang lebih jauh.

“Jadi, saya rasa semua orang boleh nampak peniagaan ataupun bidang kemahiran ini juga mampu menjana pendapatan lebih daripada kerja professional,” jelasnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Rashidi julang martabat teater Perak, dinobat Tokoh Sepanjang Zaman

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI