KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menghubungi Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi dalam masa terdekat bagi membincangkan penghantaran bantuan kemanusiaan Malaysia ke Gaza melalui lintasan Rafah.
Jelasnya, langkah itu bagi memastikan laluan darat selamat untuk delegasi Malaysia di bawah misi kemanusiaan misi Global Sumud Flotilla (GSF).
“Kita menghargai Presiden el-Sisi, Qatar, Mesir dan semua negara yang menyokong inisiatif damai. Sekarang keadaan agak tenang, kita berharap akses dapat diberikan kepada kontinjen kita.
“Saya akan hubungi Presiden el-Sisi dalam beberapa hari lagi untuk mencadangkan agar kontinjen kita dibenarkan masuk melalui Mesir ke Rafah dan meneruskan misi bantuan,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika sesi ‘In Conversation with Prime Minister’ sempena International Young Future Leaders Summit (iFUTURE) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.
Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir dan timbalannya, Datuk Mustapha Sakmud.
Terdahulu, beliau berkata demikian selepas ditanya salah seorang peserta mengenai usaha kemanusiaan yang digerakkan Malaysia di Gaza.
Mengulas lanjut katanya, gerakan flotilla termasuk GSF bukan inisiatif peribadinya, sebaliknya dipelopori oleh pada aktivis antarabangsa dan tempatan yang digerakkan demi solidariti terhadap Palestin.
Tambahnya, kerajaan hanya memberikan sokongan dan kemudahan kepada kumpulan Malaysia, Sumud Nusantara, sekaligus mengiktiraf semangat sukarelawan para aktivis khususnya delegasi negara.
“Flotilla ini bukan inisiatif saya. Saya tidak boleh ambil kredit.
“Anak muda Malaysia yang mahu mengetuai usaha ini, saya kata ‘baik’. Kami bantu dan sokong mereka, dan kebetulan saya menjadi ketua negara pertama yang secara rasmi menyokong misi tersebut,” katanya lagi.
Pada 8 Oktober lalu, seramai 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) selamat tiba di tanah air.
Manakala, sembilan lagi peserta daripada misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Medleens to Gaza (TMTG) tiba semalam selepas ditahan tentera rejim zionis. – MalaysiaGazette