PRU-16: Kumpulan NGO Melayu gesa UMNO hidupkan semula MN, kerjasama dengan PN

KUALA LUMPUR – Sekumpulan 17 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu berharap supaya UMNO menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

Presiden Perkasa, Syed Hassan Syed Ali berkata, perkara itu disampaikan oleh pemimpin-pemimpin NGO berkenaan kepada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wadi Dusuki dalam pertemuan yang turut dihadiri beberapa lagi Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Ibu Pejabat UMNO semalam.

Menurut beliau, dalam pertemuan itu, NGO berkenaan turut menyampaikan harapan supaya UMNO tidak bertanding secara solo pada PRU-16, sebaliknya bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) atau menghidupkan semula MN sekiranya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terus bergolak.

“Kami juga menyampaikan harapan agar UMNO tidak bekerjasama lagi dengan Parti DAP, PKR dan Parti Amanah pada PRU16 yang dijangka diadakan lebih awal iaitu hujung tahun 2026,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Syed Hassan yang mengetuai kumpulan NGO itu, beberapa isu lain turut dibangkitkan dalam perjumpaan bersama UMNO semalam khususnya berkaitan kepentingan Islam, Melayu dan negara.

“Kami juga diperjelaskan oleh Asyraf Wajdi berkenaan tindakan-tindakan UMNO dalam memperkasakan kepentingan Islam dan Melayu sejak bersama dalam Kerajaan Madani.

“Pada pendapat kami ia boleh dikatakan sangat baik tetapi tidak didedahkan meluas kepada masyarakat Melayu bahawa itu usaha UMNO,” katanya.

Bagaimanapun, tegas beliau, perjumpaan dengan pemimpin UMNO berkenaan bukan bermakna NGO-NGO terlibat sudah menyokong atau boleh menerima kerjasama UMNO dan DAP dalam kerajaan hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI