IPOH – Mangsa banjir di Perak terus meningkat kepada 2,984 orang daripada 1,010 keluarga di empat daerah setakat jam 10 pagi pada Sabtu.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak berkata, kesemua mereka ditempatkan di 26 pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Larut Matang dan Selama (LMS), Manjung, Kerian dan Perak Tengah.
“Daripada jumlah itu, LMS merekodkan jumlah mangsa banjir tertinggi membabitkan 2,055 daripada 723 keluarga yang ditempatkan di 19 PPS diikuti Daerah Manjung seramai 616 mangsa daripada 199 keluarga yang ditempatkan di empat PPS orang.
“Bagi Daerah Kerian seramai 203 melibatkan 57 keluarga ditempatkan di dua PPS dan diikuti Daerah Perak Tengah sebuah PPS yang menempatkan 110 mangsa daripada 31 keluarga,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan dua stesen sungai di Perak iaitu di daerah Kerian dan Muallim telah melepasi bacaan paras normal.
“Stesen Kolam Air Bukit Merah dan Sungai Slim di Slim River merekodkan paras bahaya dengan masing-masing 9.26 meter dan 25.47 meter,” katanya.
Semalam seramai 2,806 mangsa banjir melibatkan 955 keluarga di empat daerah dipindahkan susulan hujan lebat dan banjir kilat. -MG Perak


