TAIPING – “Saya dengar seakan-akan bunyi meletup sebelum dimaklumkan oleh anak rumah sudah roboh,” luah Jamaludin Mat Jenin.
Warga emas berusia 70 tahun itu tidak menyangka rumah didiaminya di Kampung Matang Pasir, di sini runtuh selepas dihentam arus deras dalam insiden yang berlaku sekitar jam 3 pagi Khamis lalu.
Menurutnya, sewaktu kejadian dia bermalam di rumah anaknya yang terletak berhampiran dengan kediamannya itu.
“Selepas anak saya memberitahu mengenai keadaan rumah itu saya tidak sanggup untuk melihatnya,” katanya ketika ditemui pada Sabtu.
Katanya, sebelum ini kampung tersebut selalu dinaiki air setiap kali berlaku hujan lebat, tetapi tidak seburuk kejadian pada Khamis.

“Selalu banjir tak jadi macam ini. Air kali ni deras sangat… saya tak sempat nak selamatkan barang apa pun. Semua habis, dapur, televisyen, barang dalam rumah semua rosak dan retak. Mujur tersangkut pada timbunan pasir, kalau tidak mungkin hanyut terus,” ujarnya.
Sehubungan itu, dia berharap kerajaan negeri dan agensi berkaitan dapat membantunya bagi membina semula kediaman baharu supaya lebih selamat untuk didiami.
Sementara itu, bahagian dapur rumah Mohamad Saad Mat Jenin, 67, turut rosak teruk akibat dihentam arus deras.
Dia yang juga adik kepada Jamaludin berkata, insiden tersebut adalah antara terburuk pernah berlaku dalam hidupnya sepanjang bencana banjir pernah berlaku di kampung berkenaan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kerajaan Perak segerakan baik pulih infrastruktur terjejas banjir – MB


