IPOH – Ibu bapa memainkan peranan penting dalam menjadikan diri sebagai contoh teladan yang baik dalam mendidik, membimbing mahupun mencorak nilai, pemikiran sifat serta watak anak.
Teks khutbah Jumaat Perak yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menyatakan bahawa, pendekatan kasih sayang amat mempengaruhi sokongan psikologi
dan perkembangan emosi anak sebelum memasuki alam remaja.
Katanya, justeru masalah moral remaja wajib diberikan perhatian semua pihak kerana sahsiah golongan itu merupakan penanda aras kemajuan sesebuah negara.
“Harus diinsafi kelompangan-kelompangan yang ketara dalam cara kita mendidik. Perlunya ada kaedah pendidikan yang saling menyokong dan saling membimbing sebagai satu masyarakat yang bertanggungjawab membentuk generasi akan datang.
“Ibu bapa, keluarga, institusi pendidikan, para agamawan, masjid dan badan bukan kerajaan masing-masing berperanan untuk memupuk sahsiah remaja demi kebaikan agama, bangsa dan negara,” katanya.
Teks khutbah Jumaat bertajuk ‘Memupuk Sahsiah Remaja’ itu dibacakan di semua masjid dan surau diri Jumaat negeri Perak.
Menurut teks berkenaan, pelbagai isu keruntuhan akhlak remaja hari ini seperti gejala ponteng sekolah, buli, penyalahgunaan dadah, rogol dan sebagainya, telah menandakan sedang berlaku krisis kemerosotan nilai golongan itu.
Jelasnya, remaja yang terbiar tanpa sentuhan kasih sayang serta didikan yang memupuk peribadi mereka dengan nilai-nilai Islam dikhuatiri hidup tidak bersandarkan ilmu dan hilang arah.
“Dibimbangi mereka tersalah memilih rakan, terjebak dengan salah laku serta rosak rohani kerana dihanyutkan dengan perkara-perkara yang bercanggah dengan syarak, adat dan adab.
“Akibatnya negara akan mewarisi generasi yang lemah jiwa, tenaga kerja yang tidak berintegriti dan bakal pemimpin yang rosak akhlak,” katanya lagi.
Oleh itu menurut teks khutbah Jumaat itu, tiga asas utama iaitu pendidikan akidah, ibadah dan adab harus diterapkan kepada anak-anak sebagaimana yang digariskan dalam al-Quran menerusi Surah Luqman.
Ujarnya, ia dapat membantu membentuk anak soleh yang bertakwa dan patuh kepada Allah SWT, di samping memiliki jati diri yang murni, gemar melakukan kebaikan, serta takut mendekati sebarang perkara haram.
Pada masa sama, teks yang disediakan JAIPk itu menekan agar para remaja untuk meningkatkan ilmu kemahiran serta menjalani kehidupan dengan amalan akhlak mulia.
“Institusi pendidikan perlu mengolah pendekatan berkesan yang dapat menyemai sifat-sifat jujur, ikhlas, sopan dan amanah; serta berdisiplin kepada golongan remaja.
“Selain mendampingi remaja dengan hikmah, ibu bapa dan penjaga juga dinasihatkan untuk memantau penggunaan telefon bimbit anak-anak.
“Anak-anak harus diberi bimbingan dan penjagaan agar dapat melindungi mereka daripada dipengaruhi oleh bahan maklumat yang tidak sesuai dengan peringkat umur mereka,” jelasnya.
Selain itu, teks itu juga menganjurkan agar golongan remaja dapat diberi dorongan untuk melibatkan diri dalam kegiatan kemasyarakatan yang dapat membina keyakinan diri dan meningkatkan keilmuan agar mereka menjadi khazanah yang berharga kepada negara. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
‘Sumbangan jangan dibiar kaku dalam tabung masjid’ – Khutbah Jumaat Perak


