Lima individu akui rasa tenang selepas peluk Islam

GEORGE TOWN – Empat lelaki dan seorang wanita saudara baharu mengucap syahadah dalam program ‘Dakwah Jalanan, Komtar Bersyahadah’ kelolaan Persatuan Infaq Kebajikan Umah Takaful Pulau Pinang (IKUT) di sini baru-baru ini.

Mereka mengucap syahadah kerana yakin agama Islam akan menjaga kehidupan dan kebajikan mereka selain bagi mendapatkan ketenangan jiwa.

Kelima-lima saudara baharu itu menyatakan rasa tenteram sebaik sahaja mengucapkan dua kalimah syahadah dalam program yang diadakan di sebuah restoran berhampiran Komtar.

Program syahadah itu dikendalikan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), IKUT yang aktif menyantuni golongan mualaf termasuk menjaga kebajikan saudara-saudara baharu sekitar Pulau Pinang.

Saudara-saudara baharu itu ialah Cheong Cheng Seong, 54; Tan Ho Chooi, 66; Thin Kuan Ting, 59; Lee Khoo Chee, 76, dan Danny Khoo, 37 tahun.

Bagi Danny yang bekerja dengan kontraktor Pihak Berkuasa Air (PBA) Pulau Pinang, pengalaman pernah berumah tangga dan mempunyai empat orang anak berusia lima hingga 16 tahun suatu ketika dulu banyak mengajar mengenai erti kehidupan.

“Jodoh saya tidak berpanjangan. Adakalanya kegembiraan itu hanya seketika apabila kita memiliki kemewahan. Namun semua itu tinggal kenangan dan kemewahan tidak semestinya kekal selama-lamanya.

“Walaupun kini saya bersendirian tapi saya tetap gembira apabila mendapati kehidupan bekas isteri dan anak-anak terus terjaga bersama keluarga baharu. Saya tidak marah sebaliknya saya sentiasa mendoakan kebahagian mereka,” katanya.

Sementara itu, Cheng Seong memberitahu, selama ini dia tercari-cari ketenangan dalam beragama.

Menurutnya, setelah mengetahui mengenai Islam, dia akhirnya memilih untuk mengucap dua kalimah syahadah.

Danny Khoo (kiri) mengucap syahadah yang dipimpin oleh seorang sukarelawan IKUT sambil diperhatikan oleh Zolkifly Md. Lazim (berdiri, tengah) di George Town, Pulau Pinang.

“Kini jiwa saya lebih tenang malah hubungan saya dengan saudara mara lain tidak terputus walaupun berlainan agama,” katanya yang pernah bekerja sebagai penjual mi dan belum pernah berumah tangga.

Ho Chooi pula mengakui dia sebelum ini berfikiran ‘bebas’ tanpa terikat dengan mana-mana agama.

“Setelah mengenali Islam dan faham agama Islam mengutamakan hubungan sesama manusia, hati saya tiba-tiba terpaut,” katanya.

Khoo Chee pula berkata, dia memilih Islam kerana mahu pengakhiran hidupnya lebih bermakna, tambahan pula umurnya yang semakin lanjut.

Penghidap barah payudara itu berkata, penyakit yang dialaminya tidak menghalangnya untuk bersyahadah dan kini hatinya lebih tenang untuk meneruskan kehidupan.

Seorang lagi saudara baharu, Kuan Ting yakin bahawa Islam akan menjaga kehidupan dan kebajikan setiap penganutnya.

“Setelah yakin dan mendapat pemahaman yang tepat, akhirnya saya pilih untuk memeluk Islam supaya jiwa ini lebih tenang,” katanya.

Penaung IKUT, Zolkifly Md. Lazim memberitahu, sebelum lima mualaf itu mengucap dua kalimah syahadah, pihaknya memberi penerangan bahawa tiada paksaan dalam memeluk Islam.

Katanya, penjelasan juga diberi bahawa setelah bergelar muslim atau muslimat, mereka juga diingatkan jangan sekali-kali terputus hubungan dengan ahli-ahli keluarga yang bukan Islam.

Menurutnya, saudara-saudara baharu itu kelak akan mengikuti kelas fardu ain dan kifayah kelolaan Jabatan Agama Islam Pulau Pinang selain kelas agama anjuran IKUT menggunakan bahasa Hokkien. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI