KUALA LUMPUR – Stok fizikal beras negara mencecah 1,190,308 tan metrik, meliputi 990,308 tan metrik stok dagangan dan 200,000 tan metrik stok penimbal beras negara sehingga 21 Oktober lalu.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, jumlah itu mencukupi bagi menampung keperluan negara untuk tempoh sekitar 5.95 bulan.
“Manakala unjuran pengeluaran ayam adalah sebanyak 70.65 juta ekor di ladang adalah kekal stabil bagi menampung keperluan semasa negara sehingga Oktober 2025,” katanya ketika sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan sejauh mana tahap keterjaminan makanan negara pada masa ini.
Mohamad juga berkata, bagi menangani risiko serta meningkatkan kemandirian sumber makanan, beberapa strategi utama telah dilaksanakan termasuk menambah baik mekanisme pelaksanaan industri padi dan beras negara.
“Ia menerusi 12 inisiatif di bawah Gelombang Padi termasuk Projek Rintis Penanaman Padi Lima Musim Dalam Tempoh Dua Tahun dan Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB),” katanya.
Selain itu, kata Mohamad, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan mempelbagaikan sumber import bagi bahan makanan asas seperti beras, daging lembu, ayam dan susu.
“Ia bagi mengelakkan kebergantungan pengimportan dari satu negara sahaja.
Menurutnya, KPKM juga akan memperkasa industri lembu pedaging untuk tujuan biak baka menerusi Program Peningkatan Ruminan dan Program Pembiakbakaan Ternakan Ruminan serta Program Insentif Galakan Peningkatan Produktiviti Lembu Pedaging.
“Usaha itu ke arah purata kadar kelahiran nasional 60 peratus (PIKK60%) dengan melaksanakan Program Pembangunan Industri Tenusu Negara bagi meningkatkan pengeluaran susu segar,” katanya.
Selain itu, KPKM juga akan mempertingkatkan kualiti baka, benih akuakultur dan variasi padi menerusi usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D).
“Ia bagi menghasilkan benih, induk dan variasi padi yang berhasil tinggi, rentang penyakit dan berdaya tahan terhadap kesan perubahan iklim,” katanya.
Dalam pada itu, jelas Mohamad, KPKM memperuntukkan sebanyak RM223.9 juta bagi melaksanakan sembilan projek pembangunan di Parlimen Batang Lupar, Kota Samarahan, Serian dan Igan, Sarawak pada 2026.
“Di bawah Rolling Plan 1 (RP1) Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), sejumlah RM15.8 juta disalurkan untuk menaik taraf infrastruktur pengairan dan saliran pertanian di kawasan jelapang serta luar jelapang.
“Ini termasuk pembinaan tali air, rumah pam, parit saliran dan pintu kawalan air bagi memastikan bekalan air mencukupi serta membolehkan penanaman padi dua kali setahun.
“Ia dilaksanakan secara bersepadu dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak, Jabatan Pertanian Sarawak dan agensi pelaksana seperti IADA Samarahan dan IADA Batang Lupar,” katanya.
Beliau menambah, KPKM memberi tumpuan tinggi terhadap usaha memulih dan membangunkan semula kawasan sawah padi di luar jelapang di pelbagai negeri, termasuk Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.
“Sejumlah RM43.44 juta telah diperuntukkan di bawah RP1 RMK13 bagi memperkasa infrastruktur pengairan dan saliran pertanian melalui pelaksanaan 34 projek di seluruh negara.
“Ia termasuk menaik taraf sistem pengairan, membaik pulih tali air dan membina rumah pam baharu bagi meningkatkan kecekapan bekalan air ke sawah.
Katanya lagi, sepanjang RMK13, tumpuan turut diberikan kepada negeri-negeri di Selatan Semenanjung.
“Di Melaka, projek utama ialah Skim Pengairan Bukit Rambai, Tangga Batu dengan kos RM43.5 juta.
“Di Johor pula, kerja pembinaan dan penaiktarafan dijalankan di Skim-Skim Pengairan Daerah Tangkak dan kawasan Sawah Endau dengan kos RM38.8 juta.
“Manakala di Negeri Sembilan, dua projek baharu diluluskan iaitu di Skim Triang Ilir, Jelebu dan Skim Pengairan Sungai Muar 1 dengan jumlah kos RM26 juta, bagi meningkatkan sistem pengairan dan saliran pertanian di kawasan berpotensi tinggi.
Selain itu, katanya Jabatan Pertanian (DOA) turut melaksanakan Projek Transformasi Tanah Sawah dan Peningkatan Produktiviti Tanaman Padi (Luar Jelapang) dengan peruntukan keseluruhan RM14 juta.
“Bagi 2026, sejumlah RM1 juta diperuntukkan bagi membangunkan sawah di Kelantan dan Negeri Sembilan, termasuk RM350,000 khusus bagi pembukaan semula lima hektar sawah terbiar di Negeri Sembilan.
“DOA juga bersedia memperluas usaha ini ke negeri lain seperti di Melaka dan Johor setelah kawasan sesuai dikenal pasti sepanjang tempoh RMK13,” katanya lagi. – MalaysiaGazette


