IPOH – Perak terus meneroka perkembangan dunia digital masa kini dengan memperkenalkan chatbot kecerdasan buatan (AI) yang dibangunkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di tiga portal atau laman sesawang.
Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi Helmi berkata, laman sesawang berkenaan adalah ‘Sistem Pinjaman Pengajian Tinggi’, ‘Portal ePenghulu’ dan ‘Portal Lembaga Muzium Negeri Perak’.
Katanya, inisiatif chatbot AI itu merupakan suatu pencapaian buat kerajaan negeri apabila ia berjaya dibangunkan secara dalaman yang digerakkan Bahagian Digital dan Bahagian Khidmat Pengurusan SUK Perak dengan kerjasama pelbagai rakan strategik lain.

“Untuk peringkat permulaan, tiga laman sesawang itu dipilih kerana ia antara platform paling dekat dengan rakyat berdasarkan data penggunaan yang tinggi.
“Kita akan lihat bagaimana penerimaan masyarakat tentang usaha ini. Dan data yang dikumpul pula akan digunakan untuk menambah baik dan memperkemaskan lagi fungsi chatbot AI itu dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan ‘Hari ICT: AI Untuk Semua Pemangkin Perak Sejahtera 2030’ di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Selasa.
Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Datuk Nor Sham Rahman.

Menurut Mohd Azlan, pengenalan chatbot AI itu bukan sahaja bertujuan memperkasa sistem penyampaian kerajaan negeri, malah memudahkan rakyat mendapatkan maklumat dengan lebih efisien.
Kata beliau, usaha itu juga selaras dengan matlamat kerajaan negeri untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan digital serta membina budaya kerja berteraskan teknologi dalam kalangan penjawat awam.
Justeru Mohd Azlan berkata, pengaplikasian chatbot AI di tiga platform berkenaan adalah langkah permulaan sebelum ia bakal memperluaskan penggunaan teknologi berkenaan ke lebih banyak jabatan serta agensi selepas ini.

“Kita sedang berbincang dengan Digital Perak Corporation Holdings (Digital Perak) untuk melihat bagaimana usaha ini boleh diselaraskan dengan platform Portal Perak 2.0.
“InsyaAllah kita akan perluaskan lagi supaya lebih banyak jabatan kerajaan negeri mahupun Persekutuan akan turut mempunyai chatbot AI seumpama ini.
“Digital Perak akan memainkan peranan penting membantu jabatan-jabatan ini, selain memastikan semuanya dapat bergerak seiring dan diselaraskan di bawah satu ekosistem digital negeri,” katanya lagi.
Mengulas lanjut Mohd Azlan berkata, SUK Perak juga kini sedang giat melaksanakan sesi pembelajaran dan latihan teknologi AI kepada para pegawai teknikal serta juga memberi pendedahan kepada kakitangan.
Kata beliau, ia bagi meningkatkan kemahiran dan pengetahuan adaptasi AI dalam pekerjaan supaya boleh bekerja dengan lebih efisien serta dapat meningkatkan prestasi perkhidmatan termasuk melalui penganjuran program Hari ICT.
“Program berkenaan melibatkan penyertaan kira-kira 400 penjawat awam dari seluruh negeri yang para peserta diberi pendedahan tentang budaya inovasi dan keterbukaan terhadap penggunaan teknologi baharu,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak rangka kerangka pelaksanaan teknologi AI, pelaksanaan awal 2026


