TANJUNG MALIM – Namanya cukup terkenal dalam dunia penulisan lirik tanah air, namun demi melengkapkan impian dan perjuangan, penulis lirik terkenal, Dr Hairul Anuar Harun, 50, akhirnya berjaya menggenggam Ijazah Doktor Falsafah (PhD) sempena Istiadat Konvokesyen Ke-27 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Beliau menamatkan pengajian Doktor Falsafah dalam bidang Peradaban Melayu dan menerima ijazah tersebut daripada Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim yang juga Canselor UPSI, dalam sesi pertama istiadat yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, di sini.
Menurutnya, proses penyelidikan dan penulisan tesisnya mengambil masa tiga tahun penuh, diikuti setahun untuk proses kelulusan.
“Sebenarnya, saya hampir putus asa menunggu proses kelulusan, tetapi atas beberapa faktor, saya terpaksa berkeras kepada diri sendiri untuk menamatkan apa yang telah dimulakan. Alhamdulillah, tahun ini saya berjaya menyelesaikan kesemuanya,” katanya.
Hairul yang juga penulis lirik berpengalaman telah menghasilkan lebih 300 karya, termasuk lagu-lagu popular seperti Cindai, Balqis dan Hati Kama mendedahkan bahawa minat membaca dan menelaah karya seni sejak usia muda menjadi sumber inspirasinya dalam berkarya.
“Saya mula menulis pada umur 22 tahun. Sebagai seniman, kita perlu banyak membaca dan menelaah supaya dapat memberi sesuatu yang baharu kepada masyarakat dan industri.
“Begitu juga dengan tesis saya yang mengkaji karya M Nasir, sangat mencabar kerana ini adalah kajian pertama seumpamanya di dunia,” ujarnya.
Tambahnya lagi, proses analisis dan penyelidikan dalam penulisan lirik serta karya akademik mempunyai persamaan dari segi keperluan memahami ilmu dan menelaah bahan sebelum menghasilkan karya bermutu.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan rasa syukur atas sokongan dan peluang yang diterima sepanjang tempoh pengajian, sambil berharap kajiannya dapat menyumbang kepada pemahaman lebih mendalam tentang peradaban Melayu dan warisan muzik negara.
Penyelia tesisnya, Profesor Madya Dr Mohd Azam Sulong, atau lebih dikenali sebagai Azam Dungun dalam dunia muzik, menyifatkan pengalaman luas Hairul sebagai satu kelebihan dalam mendapatkan data kajiannya.
Sementara itu, Pengarah Institut Peradaban Melayu (IPM), Profesor Dr Tajul Shuhaizam Said berkata, selain Hairul seorang lagi graduan di bawah IPM ialah Dr Nasir Razali yang turut bergraduasi menerusi tesis bertajuk, ‘Naskhah Drama Absurd Ismail Kassan Berdasarkan Konsep Estetika Bersepadu’.
Istiadat Konvokesyen Ke-27 UPSI tahun ini menyaksikan penganugerahan ijazah kepada 7,173 graduan daripada pelbagai peringkat pengajian termasuk sarjana, doktor falsafah dan diploma, yang berlangsung dari 11 hingga 18 November 2025. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
7,173 graduan UPSI bakal diraikan sempena Istiadat Konvokesyen Ke-27


