IPOH – Hotel WEIL melakar sejarah tersendiri apabila menjadi hotel pertama di negara ini yang menerima sijil alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) bawah Program Pensijilan ESG untuk Hotel dan Resort oleh Persatuan Hotel Malaysia (MAH), di sini, baru-baru ini.
Program berkenaan mendapat kerjasama Syarikat pemeriksaan, pengesahan, pengujian dan pensijilan antarabangsa, SGS Malaysia dan Saimatrix Integrated, serta disokong oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Majlis penyampaian sijil diadakan di Hotel WEIL dengan dihadiri semua wakil MOTAC, MAH, SGS Malaysia, Saimatrix Integrated, serta barisan pengurusan dan kakitangan hotel.
Pengarah Urusan Hotel WEIL Hotel, Liew Yu-Wei berkata, pencapaian itu membuktikan komitmen pihak hotel mereka dalam mengorak hala tuju baharu dalam industri hospitaliti yang mana tanggungjawab dan inovasi bergerak seiring.
Katanya, proses pensijilan itu melibatkan latihan intensif, pra-penilaian, serta pelaksanaan pelan tindakan kelestarian secara menyeluruh dengan ia menjadikan Hotel WEIL sebagai contoh pembangunan pelancongan mampan di Malaysia.
“Kami berusaha mendapatkan pensijilan ESG bukan untuk pengiktirafan semata-mata, tetapi kerana kami sangat mengambil berat terhadap pengurusan perniagaan kami.
“Pencapaian ini membuktikan bahawa dengan perancangan yang teliti dan komitmen yang teguh, kelestarian hospitaliti dapat direalisasikan sepenuhnya.
“Kami berharap usaha ini dapat memberi inspirasi kepada hotel-hotel lain di Malaysia untuk mengamalkan prinsip ESG dan bersama-sama membina masa depan yang mampan, selaras dengan matlamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2030,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada masa sama beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak termasuk kakitangan hotel, SGS Malaysia dan Saimatrix atas perolehan Pensijilan ESG.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif MAH, Isaac Mohan Raj berkata, pencapaian yang diraih Hotel WEIL itu menetapkan penanda aras dan menggalakkan pengusaha hotel lain untuk mengikuti jejak langkah tersebut.
Tambah beliau, MAH turut menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, rakan industri seperti Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO) dan Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA) untuk meningkatkan kesedaran tentang ESG dalam kalangan pengusaha 1,200 hotel di Malaysia.
“MAH memainkan peranan sebagai pendukung dan pemudah cara dalam Dasar Pelancongan Negara 2020–2030.
“Pencapaian WEIL Hotel memberi inspirasi kepada hotel-hotel lain untuk mengamalkan amalan kelestarian,” jelas beliau. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


